12 September 2012

Masa depan Nasharudin dalam Pas cerah

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Keputusan Majlis Syura Ulama Pas mengekalkan bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa memberi gambaran beliau mempunyai masa depan yang cerah di dalam parti.
Pengerusi Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Fuad Mohd. Jali berkata, Pas memerlukan seorang tokoh yang berpandangan jauh, fleksibel dan praktikal seperti Nasharudin.
Menurut beliau, pucuk pimpinan Pas menyedari kelebihan yang dimiliki Nasharudin dan popularitinya di kalangan ahli-ahli parti peringkat akar umbi lebih-lebih lagi golongan muda.
''Tindakan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din mempertahankan Nasharudin baru-baru ini membuktikan sokongan terhadap Ahli Parlimen Bachok itu masih kuat.
'Sekiranya Nasharudin tidak terus 'diperam' ekoran tekanan golongan tertentu di dalam Pas, saya yakin beliau mampu menyandang semula jawatan Timbalan Presiden," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Fuad mengulas keputusan Majlis Syura Ulama Pas mengekalkan Nasharudin di dalam parti itu pada mesyuarat malam semalam.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengesahkan Nasharudin kekal sebagai Ahli Majlis Syura Ulama Pas dan Ahli Jawatankuasa Pusat parti.
Bagaimanapun, Fuad tidak menolak kemungkinan keputusan Majlis Syura Ulama Pas itu dibuat bagi memastikan tidak berlaku perpecahan di dalam parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
''Mungkin juga Nasharudin akan dikenakan tindakan secara senyap-senyap termasuk tidak dipilih sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13," ujarnya.
Penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad pula berkata, Pas tidak akan memecat Nasharudin kerana sentimen akar umbi ternyata lebih banyak memihak kepada beliau.
Katanya, golongan itu melihat Nasharudin sebagai pemimpin sebenar dalam parti itu.
''Oleh itu, kalau Pas memecat Nasharudin, parti itu mengambil jalan sukar untuk memberi penerangan kepada ahli mereka. Ini pasti akan mengambil masa dan belum tentu berjaya,'' katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Masrizal berkata, apa yang berlaku menunjukkan kecenderungan golongan tertentu dalam Pas melaksanakan politik ala Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu buang, tendang atau simpan.
''Itulah formula politik ala PKR yang sudah meresapi Pas setelah memulakan era persekongkolan dengan PKR dan sekutu lain seperti DAP. Tanpa Pas sedar nilai-nilai parti yang selama ini didokong ternyata telah semakin dilupakan,'' katanya.
Sementara itu, Pengarah Koridor Utara Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Rohana Yusof memberitahu, keputusan Majlis Syura Ulama Pas tersebut adalah tepat untuk menjamin masa depan parti.
''Melihat kepada kedudukan Pas sekarang, parti itu amat memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai kekuatan tersendiri dan keberanian bersuara seperti Nasharudin," jelasnya.
Kata beliau, Pas sudah tentu tidak mahu kehilangan Nasharudin yang dilihat sebagai aset besar bagi parti tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 11/9/12

Tiada ulasan: