
SALAH satu kumpulan mengibarkan Jalur
Gemilang pada Acara Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Ulang
Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun 2012 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
pada 31 Ogos lalu.
*****
TERSENYUM sendiri mendengar beberapa anak-anak
menyanyi lagu 1Malaysia - 'Kita Satu Bangsa, Satu Negara, Kita Satu
Matlamat.. ooo, Kita Satu Bangsa, Satu Negara, 1Malaysia' - tapi
terpinar sebentar mengingatkan baru dua minggu kita meninggalkan majlis
gilang gemilang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-55, dan
hanya enam hari saja lagi kita akan menyambut pula Hari Malaysia yang
ke-49.
Entah mengapa, Hari Kemerdekaan ke-55 dirasakan amat penting untuk
diperingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Tarikh 31 Ogos
mengingatkan kita mengenai betapa pentingnya membebaskan diri dari
penjajahan, tapi kali ini ia disambut dengan sulaman rasa bimbang,
resah, gelisah dan risau memikirkan masa depan negara tercinta ini.
Nyata kebimbangan di hati berasas. Selama ini kita meraikan hari
merdeka dengan suasana santai, jika di Kuala Lumpur, ramai akan keluar
bersama teman, sahabat dan kaum keluarga untuk bersama warga kota lain
menunggu jam 12 malam di Dataran Merdeka atau KLCC untuk melaungkan
perkataan 'Merdeka' sebelum 'bunga api' diledakkan menghiasi indah
kegelapan malam ibu negara, Namun, kali ini elemen politik melampau
mencemari suasana.
Rasanya tidak pernah lagi ada rakyat yang sanggup mengaibkan pemimpin
negara dengan memijak dan 'membontotkan' mereka pada malam Hari
Kemerdekaan. Tapi kali ini muncul kumpulan rakyat yang membawa perasaan
tidak puas mereka, bukan saja sengaja membuat onar di khalayak ramai,
bahkan mempamerkan sikap yang amat mengaibkan sehingga memalukan ibu
bapa dan bangsa sendiri.
Ideologi politik kebencian yang disemai kumpulan pembangkang, kini
semakin menular dan sekiranya tidak dibendung boleh membawa padah yang
boleh menggugat keamanan dan perpaduan negara.
Di kala rakyat perlu diperkukuhkan rasa cintakan negara,
membangkitkan semangat setiakawan dan mempamerkan nilai Satu Malaysia
yang sebenar, kumpulan ini mempamerkan satu budaya yang bakal menjadi
ikutan generasi akan datang. Adakah ini budaya yang dimahukan
pembangkang yang meletakkan cita-cita politik amat tinggi untuk
memenangi pilihan raya akan datang.
Sokongan dan galakan mereka dalam mewujudkan kumpulan penentang
seperti ini bakal memakan diri sendiri, sekiranya ditakdirkan mereka
berjaya mencapai impian menawan Putrajaya.
Parti pembangkang mesti ingat tindakan mereka menggalakkan rakyat
berdemonstrasi dan bersikap biadab terhadap pemerintah setiap kali ada
yang tidak bersetuju, boleh menjadi 'senjata yang memakan tuannya
sendiri' satu hari nanti.
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, dengan gah mendeklamasi sajak
'Janji Demokrasi' sebagai tanda tidak puas hati dengan kerajaan Barisan
Nasional (BN.)
Sebagai rakyat yang cintakan keamanan, kita tertanya-tanya apakah
'Janji Demokrasi' yang dimahukan kumpulan ini. Tidakkah Malaysia
mengamal sistem demokrasi yang semakin telus.
Apa yang tidak dilakukan kerajaan BN hari ini, selain daripada
menurut 'kehendak' golongan yang tidak pernah surut daripada mengkritik
dan mengadu-domba.
Sejak Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pemerintahan Kerajaan
BN empat tahun lalu, beliau telah melakukan segala yang termampu untuk
memperbaiki kelemahan dan kelonggaran sistem pentadbiran negara selama
ini. Dalam tempoh empat tahun ini sudah terlalu banyak yang dilakukan
dan terlalu banyak kehendak yang dituruti, sehingga beliau sendiri
dikritik teruk bukan saja ahli parti, malahan semua yang menyayangi BN.
Menyedari betapa terhakisnya semangat setiakawan di kalangan warga
Malaysia hari ini dan dengan tekad untuk mengembalikan semangat cintakan
negara dan menyemai semula nilai patriotisme di kalangan kita, Najib
tidak berkira apabila dicadangkan untuk mengadakan dua acara berlainan
untuk memastikan kemeriahan meraikan ulang tahun merdeka ke-55 dirasai
setiap pihak.
Upacara biasa perbarisan di Dataran Merdeka dilaksanakan dengan
begitu gemilang pada pada 31 Ogos, tapi tahun ini ditambah dengan
sambutan pada sebelah malam yang lebih meriah bersama lebih 150,000
rakyat. Ini satu pencapaian terbaik dan tanda sokongan rakyat kepada
kepemimpinan kerajaan di bawah Najib. Sokongan daripada penaja untuk
memeriahkan acara dengan cabutan bertuah adalah satu gandingan yang baik
antara sektor swasta, agensi kerajaan dan rakyat keseluruhannya.
Tidak payahlah sesiapa mengkritik persediaan yang dilakukan
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, terutama Menterinya,
Datuk Seri Dr. Rais Yatim, jika ia sekadar membabitkan logo ulang tahun
ke-55 ataupun lagu, kerana ia hanya satu elemen kecil daripada
keseluruhan persediaan yang memerlukan kerjasama dan kerja keras
daripada semua pihak untuk menjayakan. Ia kritikan yang sengaja
dibuat-buat.
Tiada apa yang perlu dikritik mengenai logo itu, cuma mereka
terbawa-bawa dengan kritikan tidak membina tanpa mendengar alasan yang
diberikan. Logo rasmi ialah logo 1Malaysia dan perkatakaan Merdeka 55
Tahun: Janji Ditepati. Buatlah apa bentuk berdasarkan logo dan perkataan
itu. Tampallah di Facebook atau di mana saja yang digemari, bukan
dicaci dan maki.
Beberapa orang kanannya berkata, Dr. Rais hanya memberi satu arahan:
"Semua yang terbabit perlu membuat yang terbaik. Ini sumbangan kita
kepada negara yang dicintai."
Tidak ada siapa boleh menafikan dalam memastikan majlis dirancang
dilaksanakan dengan sempurna, Dr. Rais sendiri turun padang dan memberi
semangat kepada setiap yang membantu untuk memastikan acara berlangsung
tanpa sebarang halangan. Malahan, 'kumpulan kuning' daripada golongan
penentang kerajaan turut dipastikan dapat merasai kemeriahan yang wajar
dinikmati setiap warga.
Rasanya selepas lebih lima tahun hidup dalam gelombang politik yang
tidak menentu, setiap rakyat Malaysia dapat merasa betapa pentingnya
kemerdekaan yang kita kecapi selama ini. Kerana itu dalam meraikan
kemerdekaan ke-55 ini, bukan saja ruang media massa, malahan laman siber
- baik Facebook, Twitter, blog atau portal - lebih sibuk dan meriah
dengan ucapan 'selamat hari merdeka'.
Terasa suasana kali ini cukup luar biasa, kerana dalam meraikan
kemerdekaan terselit kebimbangan... itu yang membuatkan setiap warga
mahu mengembali semangat cintakan negara yang semakin terhakis di jiwa
masing-masing.
Mengikut perangkaan, tweet merdeka saja mencatat angka lebih 3.5 juta
mesej yang galak berinteraksi dengan Perdana Menteri. Itu belum lagi
tweet sesama sendiri, kibaran Jalur Gemilang di laman siber.
Kemeriahan ini perlu diteruskan atas dasar semangat cintakan
Malaysia. Bintulu sudah menunggu tetamu untuk meraikan Hari Malaysia
pada 16 September ini. Jalur Gemilang perlu diterus dikibarkan di rumah
dan pejabat.
Majoriti rakyat sudah penat melihat kemelut dan drama yang dicetuskan
ahli politik. Ramai sudah mula bertanya sampai bila golongan ini mahu
menyemai rasa bimbang dan gusar di hati, mereka rindukan Malaysia yang
aman dan damai, serta semangat setiakawan yang semakin pudar di kalangan
sahabat pelbagai bangsa.
Adakah kita mahu tunduk kepada golongan yang sentiasa mencari
kesalahan dan menggalakkan kita serta anak-anak ke gelanggang
demonstrasi? Adakah kita mahu pemimpin yang menggalakkan anak-anak kita
bersikap biadab dan kurang ajar terhadap pemimpin.
Soalan kita kepada kumpulan pembangkang pula - apakah ini budaya yang
mahu mereka terapkan kepada warga Malaysia? Apakah ini sikap dan amalan
yang ingin kita semaikan di kalangan generasi muda? Jika sebelum
menjadi pemerintah sudah menggalakkan anak-anak menjadi kurang ajar,
kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka ditakdirkan menjadi
pemerintah satu hari nanti.
Malaysia sudah 55 tahun merdeka dan terasa aib apabila muka depan
akhbar perdana tersiar gambar anak-anak kita memijak gambar pemimpin.
Jika ini dibiarkan, tidak dapat dibayangkan apa yang bakal dilakukan
anak-anak generasi ini apabila kita meraikan ulang tahun kemerdekaan
ke-100 nanti!
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan