17 September 2012

Kami berkawan baik, tiada permusuhan peribadi - Shahrizat

KUALA KANGSAR 13 Sept. - Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim membuktikan hubungan mereka berdua tetap baik apabila bersama-sama turun padang dalam Program Salam Sayang Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar di sini.
Dalam program tersebut, Shahrizat dan Kamilia turut bersama Skuad Sayang Wanita UMNO Perak mengecat rumah seorang penduduk kampung, Manisah Ramli, 53, di Kampung Sayong Lembah di sini.
Situasi tersebut sekali gus menangkis dakwaan hubungan mereka renggang ekoran tindakan Kamilia mendesak Shahrizat melepaskan jawatannya dalam parti ekoran isu National Feedlot Corporation (NFCorp).
Ketika diminta mengulas mengenai hubungan mereka, Shahrizat berkata, beliau dan Kamilia sebenarnya berkawan baik dan mereka tidak mempunyai permusuhan secara peribadi.
"Kadangkala di dalam politik, kita mungkin mempunyai idea berlainan dalam satu atau dua perkara tetapi secara umumnya, saya dan Kamilia bekerja dengan baik.
"Malah saya merancang turun ke Kuala Kangsar sekali lagi dan saya berharap Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Tan Sri Rafidah Aziz akan dapat bersama-sama kami," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah Manisah di Kampung Sayong Lembah di sini hari ini.
Shahrizat turut mengumumkan Wanita UMNO akan mencadangkan Kamilia sebagai bakal calon di Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Sementara itu, Kamilia yang juga Ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar memberitahu, walaupun mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa perkara, sebagai individu matlamat perjuangan mereka berdua tetap sama iaitu demi agama, bangsa dan negara.
Tegasnya, sebagai Naib Ketua Wanita UMNO, beliau akan terus mematuhi apa jua arahan Shahrizat bagi bersama-sama memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.
"Kami jentera di bawah akan bergerak dan perlu bergerak untuk menentukan kemenangan BN. Sebagai satu jentera, kita perlu bersatu padu dan perlu ada kesepaduan serta bergerak sederap. Kekuatan kita adalah perpaduan dan kesepaduan kita," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 14/9/12

Tiada ulasan: