KOTA BHARU 13 Sept. - Meskipun pelbagai pendedahan mengenai salah
laku Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk dikaitkan dengan penyangak mata
wang, George Soros, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Nik Mat terus
mempertahankan Ketua Pembangkang tersebut.
Sikapnya dapat dilihat apabila beliau sekali lagi mengingatkan pihak
media supaya tidak berterusan membuat laporan yang didakwanya bersifat
fitnah dan tuduhan tidak benar kepada Anwar, agar berwaspada dengan
balasan yang menanti mereka.
Nik Abdul Aziz berkata, orang yang mengumpat tidak akan diampun dosa
mereka selagi tidak mendapat kemaafan pihak yang dituduh dan akan
dibalas dengan azab seksa sejak di alam kubur.
"Saya pun tidak faham dengan akhbar ini, asyik menuduh, tuduh Anwar macam-macam, kenapalah sampai begitu.
"Rasulullah pernah melalui dua kubur dan memberitahu tuan kubur ini
sedang diazab seksa, seorang kerana kencing tapi tidak bersuci dengan
sempurna dan seorang lagi diazab kerana mengumpat.
"Sekarang orang guna akhbar, internet dan telefon untuk mengumpat
orang. Mereka tidak akan masuk syurga selagi tidak minta maaf dengan
orang yang mereka umpat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis Perasmian Jambatan
Penghulu Haji Ismail Lepan Pari bernilai RM2.8 juta di Pengkalan Chepa
hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata, pembinaan jambatan konkrit tersebut menjadi
salah satu jawapan kepada pihak yang sering menuduh Kerajaan Pas
Kelantan tidak melakukan apa-apa pembangunan di negeri ini.
"Mereka kata Kelantan tidak buat apa satu, kalau nak kata mereka buta
padahal ada mata, nak kata tuli mereka ada telinga. Kalau nak menipu
orang pun berpada-padalah, agak-agaklah kalau kalau mahu orang percaya,"
katanya.
/hwa: utusan.com.my | 14/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan