17 September 2012

Laksana BAFIA demi rakyat

SELEPAS Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Malaysia mengalami banyak perubahan, bukan sahaja dari sudut politik malahan tercalit sama dalam aspek perundangan, sosial dan ekonomi.
Politik melampau yang dipelopori kumpulan tertentu telah membawa masuk fahaman kebebasan mutlak dan hak asasi manusia sebagai alasan untuk menghalalkan tindakan melanggar norma agama, budaya mahupun ketetapan undang-undang.
Rakyat Malaysia mula diperkenalkan dengan budaya 'semua boleh' atas alasan hak peribadi masing-masing seperti mana sering berlaku di Barat dan nyata sekali golongan paling dipengaruhi adalah anak-anak muda.
Namun, perkara paling membimbangkan adalah aspek perundangan yang seolah-olah diperkotak-katikkan pihak berkenaan demi mencapai agenda peribadi terutama sekali dengan bantuan sekutu dan pengikut yang 'pakar' tentang undang-undang negara ini.
Dengan sedikit olahan dan terjemahan sendiri, pelaksanaan pelbagai akta terhadap kumpulan itu cuba disekat malahan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan juga cuba diputar agar mengikut kehendak dan kepentingan mereka.
Masyarakat di negara ini mula muak dengan situasi sedemikian apabila pihak yang menganjurkan perhimpunan haram, menyebabkan kekecohan, menyusahkan hidup seharian rakyat, mencerca bangsa atau penganut agama lain, serta menghina bendera dan pemimpin negara terus bebas bertindak sesuka hati.
Umpama satu taktik menang-menang, kumpulan itu memupuk kebencian di kalangan rakyat terhadap pihak berkuasa dengan alasan salah guna kuasa serta menindas jika dikenakan tindakan, atau gambaran pihak berkuasa dan perundangan negara lemah jika tiada tindakan.
Akibat kurangnya tindakan tegas yang nyata, semakin ramai pengikut kumpulan itu berani mencuit pihak berkuasa dan undang-undang negara termasuk Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989.
BAFIA yang umpama pelindung kepada maklumat rahsia urus niaga orang awam mahupun korporat berani dicabuli tanpa menghiraukan kesannya terhadap imej negara terutama sekali dalam menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.
Warga Malaysia cuma mahu mahkamah bertindak tegas dan akta-akta perundangan itu dilaksana tanpa pengecualian kepada sesiapa yang melakukan kesalahan. Jika tidak, apa gunanya lagi ada bermacam akta jika hanya sebagai rujukan buku?
Kebimbangan rakyat berkaitan keutuhan pelaksanaan BAFIA juga pernah dibangkitkan persatuan-persatuan pengguna, warga korporat, agensi kerajaan malahan pihak bank sendiri.
Bagi rakyat biasa, kewujudan khidmat agensi rujukan kredit seperti Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) mahupun mana-mana pihak ketiga yang menjual apa sahaja maklumat peribadi pengguna kepada pihak lain khususnya kepada bank-bank dilihat secara terang-terangan melanggar BAFIA.
Warga korporat dan agensi-agensi kerajaan pula merasakan pelanggaran akta tersebut menjejaskan kepercayaan terhadap ekonomi dan urusniaga di negara ini sementara pihak bank khuatir pencabulan BAFIA akan meruntuhkan imej dan kebolehpercayaan perkhidmatan mereka.
Penasihat Undang-undang dan Ekonomi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Ahmad Zaki Ismail menegaskan kesan mengabaikan pelaksanaan BAFIA sememangnya amat buruk terutama sekali ke atas reputasi sistem institusi kewangan negara.
"Bank Negara perlu betul-betul bertegas dalam pelaksanaan BAFIA agar bank dan institusi kewangan di Malaysia tidak hilang kepercayaan pengguna.
"Tambahan pula kita kini dalam proses membangunkan perbankan Islam dan juga mencapai status negara maju menjelang 2020," katanya.
Menurut beliau, usaha menarik pelaburan luar juga pasti terjejas jika tahap kepercayaan pengguna sendiri terus menurun sedangkan akta untuk menyekat kebocoran maklumat sudah lama disediakan.
Beliau turut menyarankan penambahbaikan akta tersebut sama ada memperhalusi semula mahupun mengukuhkan peruntukan sedia ada bagi membolehkan BAFIA dilaksanakan dengan lebih berkesan kelak.
"Masalahnya, apa sahaja maklumat boleh dibocorkan kini. Bukan sahaja maklumat peribadi dalam sistem malahan jumlah simpanan dalam akaun.
"Pengguna juga boleh terdedah kepada ancaman jenayah seperti culik dan peras ugut jika data penting sebegini tidak dilindungi sebaiknya," ujarnya.
Tegasnya lagi, kebocoran maklumat pengguna turut menjadi punca berlakunya kecurian identiti serta akaun disalahguna pihak luar sehinggakan rakyat negara ini pula menjadi mangsa disenarai hitam disebabkan perbuatan jenayah orang lain.
Mengambil contoh CTOS dan pihak lain yang menjual apa jua maklumat peribadi warga Malaysia, Ahmad Zaki menegaskan pihaknya menentang keras perbuatan tersebut dan mahukan penguatkuasaan yang lebih tegas dan nyata.
"Namun, jika akta sedia ada gagal dilaksanakan untuk melindungi pelanggan bank dan institusi kewangan, pengguna masih boleh menyaman pihak-pihak terbabit termasuk bank itu sendiri.
"Tindakan saman ini sebenarnya bagus kerana ia menunjukkan pengguna sudah mula sedar akan hak-hak mereka," jelasnya.
Beliau memaklumkan, PPIM juga mengalu-alukan pengguna yang memerlukan bantuan dari segi moral, prosedur mahupun perundangan untuk masalah kerahsiaan maklumat dan dokumen peribadi dalam urusniaga perbankan.
Nada sama turut dikongsi Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam) yang juga Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat yang menegaskan penguatkuasaan BAFIA sebagai tanda aras integriti dan kredibiliti institusi kewangan sesebuah negara.
"Akta ini atau seumpamanya ada di mana-mana negara seluruh dunia dan telah lama dikuatkuasakan di negara-negara maju.
"Kalau kita tidak kuatkuasakan BAFIA dengan tegas, maka Malaysia akan ketinggalan dan ini bakal menjejaskan imej negara di mata pelabur asing," katanya.
Tambah beliau, pelabur tidak akan melabur di sebuah negara di mana sistem perbankannya kucar-kacir dan maklumat rahsia urusniaga pelanggan tidak dilindungi kerana aspek itu turut melambangkan sama ada rakyat sesebuah negara menjunjung kedaulatan undang-undang.
"Pelabur ambil berat soal kedaulatan undang-undang. Jika tidak dapat pelihara dan kekalkan integriti kerahsiaan ini, taraf negara maju juga tidak akan diperakui masyarakat antarabangsa.
"Oleh itu, penguatkuasaan paling utama. Bank ataupun pihak kedua yang mendapat maklumat daripada warga bank, kemudian mendedahkannya perlu diambil tindakan tegas," ujarnya.
Jelas beliau, Seksyen 97 BAFIA sudah nyatakan siapapun tidak boleh dedah mana-mana maklumat rahsia pelanggan sementara Seksyen 103 menetapkan denda RM3 juta dan tiga tahun penjara ke atas mereka yang didapati bersalah melanggar peruntukan di bawah akta ini.
Khairul Anwar menegaskan BAFIA sebenarnya bukan sekadar melindungi pengguna daripada kebocoran maklumat peribadi malahan menjaga status integriti dan kredibiliti institusi kewangan yang akan menjadi penentu utama pelanggan mahu berurusniaga dengan mereka.
"Maklumat status kewangan (individu dan syarikat) adalah paling utama perlu dilindungi tetapi maklumat lain juga tidak boleh didedahkan kerana akan mencetuskan kebimbangan.
"Bukan sahaja boleh membahayakan pelanggan dan keluarga mereka melalui aktiviti jenayah seperti rompakan dan penculikan, malah gangguan daripada agensi kad kredit, jualan langsung mahupun sindiket penipuan," jelasnya.
Beliau mendedahkan pihak SukaGuam juga ada menerima aduan daripada orang ramai yang rasa bimbang atau mengesyaki maklumat peribadi mereka khususnya yang diberikan kepada bank telah sampai kepada pihak ketiga.
"SukaGuam tidak teragak-agak untuk membawa perkara ini kepada pihak atasan jika terbukti ia berlaku dan ada melanggar peruntukan BAFIA.
"Sesiapa yang berasa terancam atau khuatir maklumat peribadi mereka telah dibocorkan kepada pihak tidak berkenaan juga boleh menghubungi kami untuk bantuan," tegasnya.
/hwa: utusan.com.my | 13/9/12

Tiada ulasan: