KEMAJUAN DAN KEJAYAAN
Sistem pendidikan di Malaysia telah menempa
banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu. Hasil daripada
Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960), Laporan
Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996,
sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(2006-2010), sistem pendidikan kita telah mencatat beberapa kejayaan
yang membanggakan.
Enrolmen murid pada peringkat pendidikan rendah, termasuk di sekolah
swasta, telah mencapai tahap hampir sejagat, iaitu 96 peratus (%)
berbanding hanya 40% pada tahun 1950. Kadar enrolmen pada peringkat
menengah rendah pula telah mencapai 91%, dan menengah atas 82%.
Peningkatan yang signifikan dalam enrolmen disusuli oleh peningkatan
dalam pencapaian murid. Kadar literasi remaja telah meningkat daripada
88% pada tahun 1990 kepada kadar hampir sejagat sebanyak 99% masa kini.
Kadar literasi dewasa juga telah meningkat secara mendadak, iaitu
daripada 52% semasa negara mencapai kemerdekaan kepada 93% pada tahun
2010. Kesemua pencapaian ini amat membanggakan kita.
Kerajaan juga telah memperuntukkan secara tekal sebanyak 16% daripada
bajet negara setiap tahun untuk Kementerian Pelajaran. Pelaburan yang
besar telah dibuat dalam latihan guru, emolumen dan pembinaan
infrastruktur serta kemudahan asas pendidikan yang telah berhasil
meningkatkan penyertaan murid pada peringkat pendidikan rendah dan
menengah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman. Hasilnya,
jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar telah
berkurangan. Dalam peperiksaan UPSR, jurang pencapaian murid bandar dan
luar bandar telah berkurangan daripada 8% pada tahun 2005 kepada 4% pada
tahun 2011.
Mutakhir ini, berkat usaha gigih warga pendidik dan kerajaan
melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama
Negara bagi sektor pendidikan, enrolmen murid prasekolah juga telah
berjaya ditingkatkan daripada 67% pada tahun 2009 kepada 77% pada tahun
2011. Penguasaan Literasi dan Numerasi murid juga telah menunjukkan
pencapaian yang memberangsangkan. Berdasarkan keputusan ujian LINUS
2011, kadar literasi murid kohort Tahun1 telah meningkat daripada 87%
pada tahun 2010, kepada 95% apabila mereka berada di Tahun 2 pada tahun
2011. Begitu juga dengan kadar numerasi murid kohort yang sama telah
meningkat daripada 87% pada tahun 2010 kepada 97% pada tahun 2011.
Semua kejayaan ini adalah hasil komitmen dan usaha gigih para guru,
ibu bapa, anggota masyarakat dan kerajaan untuk meningkatkan pencapaian
murid di negara kita. Namun, di sebalik lakaran kejayaan ini, masih
banyak lagi yang perlu kita capai. Ketika sistem pendidikan kita menempa
beberapa kemajuan penting sepanjang lebih lima dekad yang lalu, sistem
pendidikan di negara-negara lain juga telah bergerak pantas dalam
perlumbaan untuk menjadi sistem yang terbaik di dunia.
Dalam persaingan global yang semakin sengit ini, negara kita perlu
bergerak lebih pantas ke hadapan. Walau bagaimanapun, pentaksiran pada
peringkat antarabangsa menunjukkan pencapaian murid kita dalam beberapa
bidang penting seperti Bacaan, Matematik dan Sains masih rendah
berbanding murid di negara-negara maju. Misalnya, daripada 74 buah
negara yang mengambil bahagian dalam ujian Programme for International
Student Assessment atau PISA 2009, murid Malaysia berada di tempat
sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik dan Sains.
Hal ini perlu diatasi segera sekiranya negara kita ingin mengorak
langkah lebih pantas dalam perlumbaan menuju negara maju. Tidak ada
jalan pintas untuk kita melakukannya. Tidak ada tongkat ajaib yang boleh
menjelmakan hasil yang terbaik dalam sekelip mata. Sebaliknya, kita
perlu akur dengan realiti semasa, jujur melakukan pembetulan dan
mengambil langkah berani untuk melonjakkan prestasi pendidikan negara.
PENYEDIAAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, 2013-2025
BERTITIK tolak daripada kesedaran ini, Kementerian Pelajaran telah
memulakan usaha mengkaji semula sistem pendidikan negara pada bulan
Oktober 2011. Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara telah dibentuk
untuk mengumpul pandangan masyarakat umum mengenai langkah-langkah yang
perlu diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan.
Menerusi satu siri jelajah dialog pendidikan yang diadakan di seluruh
negara, sebanyak 7,039 syor telah diterima daripada hampir 12,000 orang
peserta yang mengambil bahagian. Kementerian juga telah menerima 156
memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu. Selain itu,
pandangan daripada Panel Penilai Bebas Malaysia dan Antarabangsa telah
diperolehi dalam menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan.
Kementerian juga telah mendapatkan input daripada kajian-kajian yang
dilakukan oleh UNESCO, OECD, Bank Dunia dan Institusi-Institusi
Pendidikan Tinggi Awam tempatan.
Hari ini, ketika kita masih lagi dalam semangat sambutan ulang tahun
kemerderkaan negara yang ke-55, tercatat satu lagi peristiwa penting
dalam lembaran sejarah negara kita. Laporan Awal Pelan Pembangunan
Pendidikan yang akan memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang
berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Pelan ini tidak ubah seperti satu
referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan pengharapan rakyat
terhadap sistem pendidikan negara.
MATLAMAT DAN PENDEKATAN
KEMENTERIAN Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan suatu
sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu
akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Di samping itu, pada
peringkat murid-murid pula, pelan ini menyasarkan 6 ciri aspirasi utama
iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran
dwibahasa, etika dan kerohanian, serta identiti nasional.
Dalam merangka Pelan ini, 9 bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil
daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi.
Sembilan perkara tersebut ialah:
* Pertama, memartabatkan profesion keguruan;
* Kedua, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;
* Ketiga, meningkatkan kualiti sekolah;
* Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;
* Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;
* Keenam, mengukuhkan pelibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan;
* Ketujuh, meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja;
* Kelapan, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber; dan
* Kesembilan, membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.
Daripada keseluruhan 9 bidang keutamaan ini, Kementerian telah
mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan
perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebahagian
daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju
pendidikan, manakala anjakan yang lain merupakan perubahan operasi yang
telah dan sedang dilaksanakan. Sama ada perubahan bersifat strategi atau
operasi, semuanya menggambarkan perubahan amalan semasa.
11 ANJAKAN
ANJAKAN PERTAMA (1) ialah Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada
Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa. Hakikatnya, hari ini, murid
dikatakan telah berjaya menguasai ilmu apabila mereka berupaya
menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara
kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran
berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara
maju.
Sehubungan dengan itu, Kementerian akan melancarkan Kurikulum
Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian juga akan
menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan
kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi sekolah boleh
menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam
kurikulum.
Seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu ini, kementerian akan
mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain
pendidikan arus perdana. Ini termasuklah membenarkan murid berpencapaian
tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun
berbanding lima tahun sekarang, dan menamatkan sekolah rendah dalam masa
lima tahun berbanding enam tahun.
Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak
untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi,
seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu. Sebagai contoh menjelang
tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan
berbentuk pemikiran aras tinggi.
Selain itu, tempoh pendidikan wajib juga akan dilanjutkan daripada 6
tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan disokong oleh pelbagai inisiatif
untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk memperluaskan
laluan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional.
Untuk menjamin akses pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa
kepada semua murid, kerajaan akan meningkatkan pelaburan bagi sumber
fizikal dan pengajaran kepada murid dengan keperluan khusus. Murid Orang
Asli dan kumpulan minoriti, serta murid kurang upaya fizikal dan
pembelajaran, akan menerima bantuan tambahan supaya mereka juga
menikmati peluang yang sama seperti murid lain.
Dari segi penguasaan bahasa, Kementerian akan melaksanakan AJAKAN YANG KEDUA (2),
iaitu memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan
Bahasa Inggeris. Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, Kementerian
akan memperluas program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris.
Kementerian juga akan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris guru dengan
memastikan semua 70,000 orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge
Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun.
Guru yang tidak mencapai standard yang ditetapkan akan mengikuti
latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran. Di samping itu, murid
akan diberi pendedahan yang lebih meluas terhadap bahasa Inggeris dengan
memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid
sekolah menengah.
Bagi memantapkan penguasaan bahasa Malaysia di semua jenis sekolah,
kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard
pada peringkat rendah, merangkumi sekolah jenis kebangsaan. Dengan
pelaksanaan kurikulum standard ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah
kebangsan akan dimansuhkan mulai tahun 2017. Selain itu, Kementerian
juga akan menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan seperti
bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab serta bahasa ibunda atau
bahasa antarabangsa yang lain.
Seterusnya, Kementerian akan melaksanakan ANJAKAN yang ketiga (3),
iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai. Dalam
mengharungi dunia yang semakin mencabar hari ini, anak-anak kita perlu
memiliki nilai-nilai murni sejagat yang selaras dengan tuntutan moral,
etika dan agama. Pada masa yang sama, sebagai warganegara, anak-anak
kita juga perlu sentiasa dipupuk dengan semangat patriotisme untuk
membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu.
Untuk itu, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, kementerian
akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik
menjelang tahun 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan
Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main
peranan (role play), simulasi, perbincangan, dan tugasan dalam
kumpulan kecil. Selanjutnya, Kurikulum Pendidikan Islam akan melibatkan
tumpuan terhadap pemahaman nilai teras dan falsafah Islam serta
agama-agama yang lain.
Bagi murid bukan Islam pula, Pendidikan Moral akan mengandungi
pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian
juga akan mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam berkongsi
kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar. Program-program yang
sedia ada seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan
program 1Murid 1Sukan 1Kelab dan 1Badan Berunifom juga akan diteruskan.
Segala langkah yang akan diambil ini tidak akan berhasil tanpa
sokongan dan dokongan guru-guru yang berkualiti. Sehubungan dengan itu,
kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEEMPAT (4), iaitu
meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai
profesion pilihan. Anjakan ini adalah selari dengan pandangan sebahagian
besar peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan kualiti
guru diberikan keutamaan.
Untuk itu, kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan
perguruan dengan menyasarkan hanya 30% teratas daripada kelompok pelajar
cemerlang menyertai profesion keguruan. Selain itu, bagi guru-guru yang
sudah berada dalam sistem, kementerian akan mengukuhkan pembangunan
kerjaya berterusan guru-guru dengan melaksanakan program pembangunan
kerjaya secara in-situ di sekolah.
Untuk menyokong peningkatan prestasi guru, kementerian akan
menyediakan laluan kerjaya guru berasaskan kompetensi dan prestasi.
Dalam hal ini, guru berprestasi tinggi akan berpeluang menikmati
kenaikan pangkat bermula daripada gred DG41 sehingga DG54 dalam tempoh
yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun yang merupakan purata
tempoh kenaikan pangkat secara time-based yang baru.
Selain itu, kementerian akan memastikan guru memberikan tumpuan
kepada fungsi teras pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran;
memperluaskan laluan kerjaya guru untuk peranan kepimpinan, pakar
pengajaran dan pakar bidang khusus; dan mempertimbangkan untuk
mewujudkan satu skim pensijilan yang dikaitkan dengan penguasaan
kecekapan guru.
Seterusnya, ANJAKAN YANG KELIMA (5) ialah memastikan pemimpin
berprestasi tinggi ditempatkan disetiap sekolah. Untuk itu, kKementerian
akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar
berasaskan kompetensi, serta memperkukuhkan proses perancangan
penggantian pengetua dan guru besar mulai tahun 2013. Selain itu,
kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di
sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar
bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah.
Kementerian juga akan menyediakan sokongan yang secukupnya kepada
pengetua dan guru besar untuk membantu mereka meningkatkan prestasi
sekolah. Untuk itu, Kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEENAM (6),
iaitu mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian
khusus berasaskan keperluan. Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata
Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (School Improvement
Specialist Coaches atau SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan
Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Partners atau SiPartners)
secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Para jurulatih ini
bertanggungjawab memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah
berprestasi rendah, iaitu sekolah yang berada dalam band 5, 6 dan 7.
Satu projek rintis akan dilaksanakan di negeri Sabah dan Kedah mulai
Januari 2013, manakala pelaksanaan seluruh negara akan bermula Januari
2014.
Selain itu, untuk meningkatkan autonomi sekolah, kementerian akan
membenarkan fleksibiliti pengoperasian ke atas pengagihan bajet dan
pelaksanaan kurikulum, dimulai dengan Sekolah Berprestasi Tinggi,
Sekolah Kluster, Sekolah Amanah dan sekolah-sekolah yang menunjukkan
peningkatan prestasi yang ketara. Dari semasa ke semasa, lebih banyak
sekolah akan diberikan hak membuat keputusan dan akauntabiliti
berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.
Dalam dunia yang pantas berkembang hari ini, teknologi maklumat dan
komunikasi atau ICT mempunyai potensi yang besar untuk memacu proses
pembelajaran. Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KETUJUH (7),
iaitu memanfaatkan (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran.
Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran
pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi kesemua 10,000
buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung tahun
2013. Dalam masa yang terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada
rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk pelaksanaan
pembelajaran secara interaktif.
Seterusnya, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KELAPAN (8),
iaitu mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian
Pelajaran. Struktur organisasi kementerian akan disusun semula agar
fungsi bahagian tidak bertindih. Lebih ramai tenaga kerja akan
ditempatkan di PPD, iaitu agensi utama dalam rantaian penyampaian
pendidikan. Dalam konteks ini, PPD bukan lagi semata-mata berperanan
sebagai saluran penghubung antara kementerian dan sekolah, tetapi
sebagai agensi penting yang terlibat secara langsung dalam memantau dan
mengurus prestasi sekolah. Kementerian akan mengekalkan fungsinya dalam
perancangan makro dan penggubalan dasar, manakala JPN akan memberikan
tumpuan kepada penyelarasan dan penyampaian segala perancangan, serta
menjadi penghubung yang penting antara penggubal dasar dan pelaksana di
peringkat bawah.
Menyedari hakikat bahawa proses pembelajaran tidak hanya berlaku di
sekolah, tetapi turut merangkumi aktiviti-aktiviti di luar sekolah yang
melibatkan penyertaan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kementerian
akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEMBILAN (9), iaitu
memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor
swasta. Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis
Peperiksaan Sekolah (SAPS), untuk membolehkan ibu bapa memantau kemajuan
anak mereka di sekolah secara atas talian. Perhatian khusus akan
diberikan kepada usaha membantu ibu bapa luar bandar dan miskin bandar
meningkatkan prestasi anak masing-masing.
Selain itu, pihak kementerian akan mendapatkan maklum balas daripada
setiap PIBG mengenai pelaksanaan kurikulum setempat dan kualiti guru
mulai tahun 2016. Untuk menggalakkan pelibatan sektor swasta dan
komuniti, kementerian akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500
buah menjelang tahun 2025 dengan turut melibatkan kumpulan alumni dan
pertubuhan bukan kerajaan yang berpotensi sebagai penganjur.
Saban tahun, sekitar 16% daripada bajet negara diperuntukkan kepada
Kementerian Pelajaran, dan jumlah ini merupakan yang terbesar antara
semua kementerian. Bajet pendidikan di Malaysia, sebagai sebahagian
daripada KDNK juga merupakan satu daripada yang tertinggi di dunia.
Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEPULUH (10),
iaitu memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan.
Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan
keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program
berimpak rendah pada setiap tahun, seiring dengan anjakan pengurusan
kewangan negara ke arah Bajet Berasaskan Keberhasilan (Outcome-Based Budgeting).
Kementerian juga akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus
perbelanjaan dengan memberikan keutamaan kepada bidang paling kritikal
seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
ANJAKAN YANG KESEBELAS (11), iaitu yang terakhir, ialah meningkatkan
ketelusan akauntabiliti awam. Sepanjang pelaksanaan Pelan ini, semua
pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan
tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian.
Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif Pelan ini akan
diterbitkan untuk tatapan umum mulai tahun 2013. Kementerian juga akan
melaksanakan semakan komprehensif pada tahun 2015, 2020 dan 2025 bagi
memastikan pelan ini sesuai dengan sifat dinamis dan perkembangan semasa
sektor pendidikan.
Pelan Pembangunan Pendidikan ini adalah satu dokumen komprehensif
yang bukan sahaja mengenal pasti bidang-bidang keutamaan dan meletakkan
sasaran-sasaran yang hendak dicapai, malah turut menyenaraikan
inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan
tindakan yang jelas, dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai
setiap sasaran yang ditetapkan.
Misalnya, rakyat boleh menjangkakan dalam Gelombang Pertama
pelaksanaan, iaitu dari tahun 2013 hingga 2015, akan berlaku peningkatan
dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di
peringkat negeri dan daerah, dan mutu kepimpinan sekolah.
Dalam Gelombang Kedua pula, iaitu dari tahun 2016 hingga 2020, akan
berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan
kesemua 410,00 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej
kerjaya baharu; bahagian-bahagian di Kementerian distruktur semula untuk
menjajarkan dengan peranan yang direncanakan menerusi Gelombang
Pertama; dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula untuk
memastikan ia sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia hari
ini.
Manakala dalam Gelombang Ketiga, iaitu dari tahun 2021 hingga 2025,
semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan
prestasi melebihi standard minimum. Kementerian akan memberikan tumpuan
kepada usaha meningkatkan keluwesan operasi dan menganjakkan kebanyakan
sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah, serta membangunkan
model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran.
Keseluruhan anjakan ini akan memberikan impak yang besar kepada
peningkatan kualiti pendidikan negara. Sekiranya kesemua 11 anjakan yang
terkandung dalam Pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan,
untuk tempoh 13 tahun akan datang kita akan menyaksikan satu anjakan
besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu daripada pendidikan yang
berfokuskan akses kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti.
Untuk itu, sepanjang tempoh pelaksanaan, pegawai-pegawai di
Kementerian, khususnya kumpulan pengurusan tertinggi, mempunyai KPI
masing-masing yang dikaitkan dengan pencapaian setiap sasaran yang
ditetapkan. KPI ini akan disebarkan ke peringkat bawah, dari Kementerian
hingga ke sekolah, untuk memastikan matlamat yang hendak dicapai adalah
tekal dan selari.
Selain itu, Kementerian akan mewujudkan Unit Penyampkian Pendidikan
(Education Delivery Unit) untuk memacu pelaksanaan Pelan ini. Unit ini
akan bertanggungjawab memantau kemajuan, menyelesaikan isu pelaksanaan,
menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul
maklumbalas secara berterusan. Pegawai yang ditempatkan di unit ini akan
terdiri daripada mereka yang berbakat besar dan berpengalaman luas
dalam mengurus transformasi, baik dalam sektor awam mahupun sektor
swasta.
Dalam konteks ini, Pelan ini agak berbeza daripada laporan-laporan
pendidikan yang terdahulu. Di samping menghuraikan hasrat dan sasaran
yang hendak dicapai, Pelan ini lengkap dengan kaedah pelaksanaan, dan
strategi penyampaian yang jelas.Kementerian dimaklumkan oleh Panel
Penilai Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan kita
telah dilakukan dengan amat teliti, dan kualiti analisanya menepati
standard antarabangsa.
Inilah julung-julung kali dalam sejarah negara kita, satu pelan
pembangunan pendidikan untuk rakyat disediakan hasil rundingan awam
secara telus dan terbuka. Sukacita saya maklumkan di sini bahawa
sehingga kini, lebih 90 peratus pandangan yang dikemukakan oleh orang
ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara telah
diambilkira dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang saya
bentangkan pada hari ini.
Selepas ini, kementerian akan mengadakan Hari Terbuka untuk
membolehkan masyarakat umum meneliti kandungan Pelan ini, mendapatkan
penjelasan dan mengemukakan maklum balas lanjut kepada kerajaan. Saya
percaya, apabila pelan ini dibentangkan kepada Kabinet kelak dan
dimuktamadkan pada bulan Disember nanti, apa yang terhasil adalah satu
pelan pendidikan yang sarat dengan cita-cita dan harapan rakyat. Inilah
tanda kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional bawah kepimpinan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk menzahirkan matlamat Dasar
Transformasi Nasional yang berasaskan jangkaan dan pengharapan rakyat.
/hwa: utusan.com.my | 13/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan