NAMA Bukit Koman yang terletak di Raub, Pahang memang tidak segah
Bukit Tunku atau Bukit Damansara di ibu negara. Namun kadangkala, apa
ada pada nama biarpun ada kawasan di negara ini yang sengaja diberi nama
baru atas pertimbangan komersial.
Ini kerana di dalam isi perut Bukit Koman menyimpan logam paling
berharga di muka bumi iaitu emas lantas menjadikannya mungkin lebih
bernilai daripada bukit-bukit di Lembah Klang.
Ternyata Bukit Koman biarpun namanya sebegitu bukanlah sebarangan
bukit dan hujung minggu lalu, Bukit Koman yang terletak kira-kira 10
minit pemanduan dari bandar Raub menjadi tumpuan ramai.
Tetapi bukan oleh pelombong atau pendulang emas sebaliknya menjadi
tumpuan peraih politik yang bersandarkan kepada modal putar belit dan
adu domba bagi menanam kebencian rakyat kepada kerajaan.
Isunya adalah penggunaan sejenis bahan kimia dikenali sianida di
lombong berkenaan yang kini diusahakan oleh Raub Australian Gold Mining
(RAGM) sejak ia beroperasi semula pada Februari 2009 berikutan
perkembangan teknologi setelah ditutup pada 70-an berikutan kekurangan
logam berkenaan.
Bahaya sianida itu digembar-gemburkan bagi menimbulkan kebimbangan
tidak berasas penduduk terhadap kesihatan mereka kononnya bahan itu akan
menyebabkan pelbagai jenis penyakit khususnya sakit kulit.
Malah laporan portal propembangkang sengaja mengapi-apikan rakyat
sebelum Himpunan Hijau Ahad lalu kononnya terdapat kira-kira 300
penduduk sudah menjadi mangsa akibat pendedahan kepada bahan kimia
tersebut yang digunakan di lombong RAGM itu.
Seperti mana dalam isu loji memproses nadir bumi, Lynas di Kuantan,
pembangkang Malaysia yang penuh 'bertanggungjawab' ini manfaatkan
sepenuhnya kebimbangan penduduk terhadap kesihatan mereka untuk meraih
sokongan.
Sama ada isu sianida di RAGM atau pun radiasi akibat operasi kilang
Lynas, pembangkang cekap memanipulasi isu itu dengan fakta khayalan dan
fitnah mereka untuk menggambarkan kerajaan tidak bertanggungjawab kepada
rakyat.
Seperti mana Lynas, isu di Bukit Koman juga tidak pernah dihujahkan
pembangkang dari sudut kajian sains sebaliknya membakar emosi penduduk
dengan pelbagai helah termasuk menyebarkan risalah yang penuh dengan
gambaran salah.
Sebagai rakyat, penduduk di sekitar Bukit Koman berhak untuk berasa
bimbang terhadap kesihatan mereka akibat daripada sebarang aktiviti yang
berlaku di sekeliling biarpun ada dakwaan nakal kononnya mereka marah
kerana tidak dapat mengambil logam berharga itu setelah RAGM beroperasi.
Namun kebimbangan ini bijak dieksploitasi pembangkang sehinggakan
dalam isu Lynas, penduduk Kuantan digambarkan akan mengalami nasib
seperti penduduk Hiroshima manakala di Bukit Koman, disebar risalah
seolah semua penduduk bakal alami kecacatan.
Hakikatnya kajian sains oleh pelbagai jabatan menunjukkan aktiviti
berkenaan adalah selamat malah gembar-gembur pembangkang di Bukit Koman
tentang sakit kulit dialami penduduk juga tidak benar sama sekali.
Bahkan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr.
Lokman Hakim Sulaiman memaklumkan sehingga hari ini tidak ada pun
penduduk atau pekerja di lombong berkenaan yang dikesan mengalami
simptom akibat pendedahan sianida.
Kajian ini bukan hanya diperolehi Kementerian Kesihatan, malah
pembangkang yang menubuhkan panel menyiasat perkara ini diketuai
Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw mengakui belum ada penduduk
yang mengalami sakit kulit seperti didakwa.
Dan sebagai kerajaan bertanggungjawab, tawaran dibuat kepada sebuah
badan bertindak propembangkang dalam isu ini untuk sama-sama terlibat
melakukan kajian kesan penggunaan sianida ke atas penduduk.
Namun tawaran itu ditolak atas alasan mereka tidak mempunyai pakar,
sedangkan badan yang sama mengapi-apikan penduduk bahaya yang dihadapi
mereka akibat sianida yang digunakan di lombong tersebut.
Terang lagi bersuluh, isu Bukit Koman sudah menjadi modal politik
pembangkang bagi berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang,
sama seperti operasi kilang Lynas di Kuantan.
Pembangkang tidak pernah berhajat walau sedikit pun untuk mencari
kebenaran seperti mana dituntut agama sebaliknya hanya melihat peluang
untuk menambah kerusi bagi melunaskan hajat pemimpin utama mereka ke
Putrajaya sebagai agenda utama.
Apatah lagi Raub dilihat mereka sebagai antara kerusi Parlimen yang
berpotensi untuk ditawan setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tras di
Parlimen berkenaan pada PRU lalu berjaya dimenangi yang antaranya dengan
memainkan isu RAMG.
Penduduk seperti di Kampung Baru Bukit Koman mungkin kekurangan
maklumat di peringkat ini namun mereka seharusnya merujuk kepada pihak
yang pakar dalam erti kata sebenar dan bukannya pakar dalam putar belit.
Biarlah pembangkang negara ini yang koman tetapi tidak bagi rakyat.
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan