
Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul
Hadi Awang (kiri) menyambut salam Dr. Haron Din pada Majlis Rumah
Terbuka Pas sempena Hari Raya Aidilfitri 2012 di Padang Kelab Sultan
Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam. - AZLAN HADI ABU BAKAR
*****
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Para pemimpin Pas Pusat
enggan menyatakan pendirian peribadi mereka berhubung kemelut dihadapi
bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, isu itu langsung tidak
dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat hari ini.
''Kita sudah serah kepada Majlis Syura Ulama, jadi tanya merekalah.
Saya sendiri tiada pandangan peribadi berhubung isu ini," katanya kepada
pemberita pada majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Pas Pusat di Padang
Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat; Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din; Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Penasihat
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha
Agung DAP, Lim Guan Eng.
Bagaimanapun, Nasharudin tidak kelihatan di lokasi berkenaan sepanjang majlis berlangsung mulai pukul 2 petang hingga 5 petang.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub memberitahu, beliau
tidak mahu mendahului keputusan Majlis Syura Ulama yang dijadual
mengadakan mesyuarat malam ini.
''Saya tidak mahu komen secara peribadi. Saya akur kepada keputusan
parti menyerahkan isu ini kepada Majlis Syura Ulama," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Abdul Samad berkata, Nasharudin seharusnya akur dengan apa juga keputusan.
Jelas beliau, Ahli Parlimen Bachok itu juga tidak sepatutnya
mengulangi perbuatan mengkritik parti atau mengeluarkan kenyataan
bercanggah dengan pendirian Pas secara terbuka.
''Kita berharap masalah dicetuskan Nasharudin dapat diselesaikan
secara baik dalam pertemuannya dengan Majlis Syura Ulama," katanya.
Tambah beliau, walaupun Nasharudin dilihat mempunyai niat ikhlas
untuk menyatupadukan umat Islam, Pas tetap dengan keputusannya untuk
bersama dengan pakatan pembangkang.
Bekas Timbalan Presiden Pas itu dikatakan bakal berdepan dengan
'hukuman' berikutan tindakannya meminta parti tersebut mengkaji semula
kedudukannya dalam pakatan pembangkang.
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan