
Ahmad Zahid Hamidi (tengah)
menyampaikan anugerah kepada seorang perwakilan UMNO pada Persidangan
Perwakilan UMNO Bahagian Semporna di Dewan Masyarakat Semporna,
Semporna, Sabah. Turut kelihatan, Shafie Apdal (kiri).
*****
SEMPORNA 9 Sept. - Seluruh ahli UMNO
bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengembalikan maruah parti yang telah
dihina dengan teruk oleh pembangkang selepas tsunami politik 2008.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan
Barisan Nasional (BN) menerima secara terbuka ujian Allah pada 2008 itu
serta menginsafi kelemahan dan berusaha gigih bagi mengatasinya dengan
melakukan pelbagai transformasi terbaik.
"Mengikut sejarah politik negara, Pilihan Raya Umum 2004 paling bagus
prestasi BN, tetapi 2008 pula paling teruk," katanya semasa merasmikan
Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Semporna di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Bahagian Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Menyentuh mengenai keghairahan pembangkang memukul canang mengatakan
akan merampas Sabah, jelas Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan,
mereka hanya mencipta guruh, petir serta halilintar.
"Malangnya mereka tidak mampu mencipta hujan. Semua itu hanya omong
kosong, sedangkan di negeri yang diperintah pun tidak mampu menunaikan
janji, inikan pula di tempat lain.
"Kepada rakyat Sabah, saya ingin ingatkan jangan pula apabila dengar
guruh terus mencurahkan air di dalam tempayan. Ada dalam kalangan bekas
pemimpin yang percayakan guruh itu hingga sanggup menyertai mereka
kerana percaya dengan pelbagai janji manis," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan seluruh jentera parti bahawa
pilihan raya umum kali ini amat getir dan bukan masanya untuk 'menuai'
atau mengutip hasil.
Tegas beliau, jangan sesekali mengambil kesempatan mengaut keuntungan
kerana lazimnya pada masa itu 'hujan' akan turun dengan hebatnya.
"Buat kerja dengan ikhlas, jangan hanya tunggu ganjaran baru hendak
bekerja. Tiada guna poket tebal tetapi parti pula kalah," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan