KUALA LUMPUR 12 Sept. - Tindakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa
Ali yang dilihat begitu pantas melindungi kumpulan Anwarinas berhubung
kemelut yang melanda bekas Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa
menimbulkan pelbagai persoalan.
Pengarah Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Abd. Aziz Abidi
Ariffin berkata, beliau hairan dengan perubahan sikap Mustafa yang
begitu agresif membela kelompok Anwarinas sedangkan sebelum ini
Setiausaha Agung Pas itu tidak pernah mengambil pendirian sebegitu.
"Kami hairan mengapa Mustafa cuba melindungi puak Anwarinas dengan
menyatakan kumpulan tersebut tidak terlibat dalam usaha memecat
Nasharudin sehingga beliau muncul orang pertama dalam Pas yang menafikan
penglibatan Anwarinas.
"Sedangkan percaturan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
melalui Anwarinas dalam menentukan hala tuju perjalanan politik Pas
bukan lagi rahsia, lihat sahaja apa yang berlaku kepada Datuk Dr. Hasan
Ali," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nasharudin yang mendesak Pas mengkaji semula hubungan di dalam
pakatan pembangkang ekoran kebiadaban Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam
isu hudud ditekan kelompok Anwarinas yang mahu beliau dipecat kerana
dikatakan tidak selari dengan dasar pembangkang.
Bagaimanapun beliau yang mendapat sokongan penuh golongan ulama
terselamat daripada dipecat dan Mustafa kemudian menafikan kemelut
dalaman Pas itu mempunyai kaitan dengan percaturan politik kumpulan
Anwarinas.
Dalam perkembangan sama, Abd. Aziz mempersoalkan adakah Mustafa
dipaksa pihak tertentu melindungi kumpulan Anwarinas dan punca sebenar
sehingga beliau yang begitu berpengalaman dalam politik dilihat tunduk
kepada golongan itu.
"Masyarakat umum perlu tahu apakah wujud rahsia peribadi Mustafa yang
disimpan puak Anwarinas sehingga sanggup tunduk sedemikian rupa dan
jika tiada, kita minta Mustafa jangan membiarkan diri beliau diperalat
kumpulan berkenaan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 13/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan