KUALA LUMPUR 12 Sept. - Keputusan Majlis Syura Ulama Pas mengekalkan
kedudukan bekas Timbalan Presiden parti, Nasharudin Mat Isa tidak
membuktikan suara golongan ulama lebih berpengaruh daripada kumpulan
Anwarinas dan parasit.
Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohamad
berkata, Jawatankuasa Pas Pusat sebenarnya memilih jalan selamat bagi
memastikan kesinambungan hidup politik parti itu terjamin menjelang
Pilihan Raya Umum Ke-13.
Beliau yang masih ahli Pas Kawasan Subang dan Cawangan Kota Damansara
memberitahu, tindakan Jawatankuasa Pas Pusat menyerahkan isu Nasharudin
kepada pertimbangan Majlis Syura Ulama dianggap sebagai sesuatu yang di
luar kebiasaan.
"Majlis Syura Ulama Pas tidak mempunyai kuasa eksekutif. Sepatutnya
Jawatankuasa Pas Pusat yang membuat keputusan berhubung isu Ahli
Parlimen Bachok itu, sama seperti dalam kes bekas Pesuruhjaya Pas
Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.
"Saya melihat keputusan mengekalkan Nasharudin dibuat setelah Pas
mengambil kira situasi politik semasa dan bukan kerana pengaruh golongan
ulama mengatasi kumpulan parasit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hasan Basri mengulas kedudukan Nasharudin dalam parti itu kekal
seperti yang diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas
mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas pada 9 September lalu.
Tambah beliau, keputusan itu jelas berbeza dengan pendirian Mursyidul
Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi sebelum mesyuarat
berkenaan diadakan.
"Nik Abdul Aziz menegaskan mana-mana pemimpin yang tidak mengikut
peraturan boleh meninggalkan Pas manakala Abdul Hadi menganggap
Nasharudin tidak lagi relevan kepada parti," ujarnya.
Jelasnya, kumpulan Anwarinas serta parasit pasti tidak berpuas hati
dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas itu dan akan mencari jalan lain
untuk menyingkirkan Nasharudin dari parti.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Nor Azli Musa berkata,
semua pihak di dalam parti perlu menghormati keputusan Majlis Syura
Ulama Pas sebagai badan yang menduduki hierarki tertinggi dalam parti.
"Sepatutnya tidak timbul suara-suara sumbang yang mempertikaikan
keputusan badan tersebut mengekalkan kedudukan Nasharudin dalam Pas,"
katanya.
Menurut beliau, kewibawaan Majlis Syura Ulama Pas yang berperanan
menentukan dasar parti tidak sewajarnya diragui dan pihaknya akur dengan
setiap keputusan yang dibuat badan itu.
/hwa: utusan.com.my | 13/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan