KUALA LUMPUR 12 Sept. - Bekas Timbalan Presiden
Pas, Nasharudin Mat Isa menegaskan beliau tidak akan sesekali memohon
maaf kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Malah katanya, beliau juga tidak akan menarik balik kenyataan yang
dibuat sebelum ini berhubung gesaan supaya Pas mengkaji semula kedudukan
parti itu dalam pakatan pembangkang serta pelaksanaan hukum hudud yang
menimbulkan rasa kurang senang Karpal.
"Saya baca kenyataan beliau dalam sebuah akhbar dan saya juga telah
sebutkan sebelum ini, saya bersedia bertemu beliau di mahkamah," katanya
seperti disiarkan Buletin Utama, TV3 malam tadi.
Nasharudin ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) sebelum berlepas ke Kaherah, Mesir bagi menghadiri Forum
Antarabangsa Ahli Parlimen Islam selama 10 hari.
Kontroversi antara Nasharudin dan Karpal berhubung isu tersebut
sebelum ini meletakkan masa depan Ahli Parlimen Bachok itu dalam
tanda-tanya apabila dikatakan bakal dikenakan tindakan pada Mesyuarat
Dewan Syura Ulama Pas pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, Nasharudin terlepas daripada sebarang tindakan iaitu
keputusan yang dikatakan mengecewakan kumpulan Anwarinas di dalam Pas.
Mengulas lanjut, kata Nasharudin, beliau akan terus bercakap dan
memperjuangkan apa yang menjadi pendirian Pas selama ini meskipun
menerima tekanan daripada rakan-rakan di dalam Pas sendiri.
"Pendirian saya kekal bahawa ini bukan agenda peribadi saya atau Pas,
tetapi ini merupakan satu tuntutan Islam itu sendiri yang merupakan
sebahagian daripada kesempurnaan ajaran syariah.
"Saya tidak menafikan memang terdapat kesukaran dalam pelaksanaan
hudud sebagai satu sistem perundangan, tetapi kesukaran pelaksanaan
sebagai sistem perundangan itu tidak pula boleh kita nafikan aspek-aspek
substantif daripada undang-undang tersebut," katanya.
Menyentuh mengenai spekulasi beliau tidak akan menghadiri Mesyuarat
Dewan Syura Ulama Pas itu supaya tindakan lain boleh dikenakan
kepadanya, Nasharudin berkata: "Apa yang diputuskan mesyuarat itu adalah
satu lagi bukti yang mengiyakan pendirian saya selama ini bahawa saya
masih bersama Pas dan masih merupakan ahli Majlis Syura Dewan Ulama Pas
dan insya-Allah keputusan itu membuktikan apa yang telah saya sebutkan
sebelum daripada ini walaupun terdapat pelbagai spekulasi".
/hwa: utusan.com.my | 13/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan