
Penyokong Chua Tee Yong dan Khalid
Ibrahim saling tolak menolak semasa majlis debat berhubung isu Talam
Corporation Bhd di Kompleks Belia Antarabangsa di Bandar Tun Razak,
Kuala Lumpur, malam tadi. - UTUSAN/Ghazali Basri
*****
KUALA LUMPUR 12 Sept. - Debat terbuka antara
Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong dengan Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim yang sepatutnya menjadi medan kerajaan Parti
Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menjelaskan skandal Talam Corporation
Berhad (Talam) tidak menjadi kenyataan kerana Menteri Besar itu tidak
hadir.
Walaupun debat itu diadakan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) yang
terletak di Bandar Tun Razak iaitu kawasan Parlimen yang diwakili Abdul
Khalid sendiri, Menteri Besar berkenaan dilaporkan berada di Bangkok,
Thailand meskipun sedia maklum mengenai debat tersebut.
Beliau juga seolah-olah memandang remeh isu penyelewengan hutang
Talam berjumlah RM1 bilion apabila hanya menghantar Setiausaha
Politiknya, Faekah Husin; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua;
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Zulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen
Selayang, William Leong sebagai wakil.
Keadaan itu memaksa Tee Yong berhujah bersendirian demi tidak
menghampakan kira-kira 1,000 pengunjung yang hadir mendengar penjelasan
sebenar berhubung skandal tersebut serta kegagalan kerajaan PKR Selangor
mendedahkan kertas putih mengenai hutang Talam sebagaimana dijanjikan.
Menurut Tee Yong, kegagalan Abdul Khalid hadir membuktikan Menteri
Besar itu takut berdepan pembongkaran yang bakal dibuat MCA kerana
beliau tahu segala pendedahan mengenai skandal tersebut yang dibuat
secara bersiri sebelum ini adalah benar.
"Walaupun telah diberitahu debat ini dilakukan di kawasan beliau,
tetapi Abdul Khalid tetap takut untuk tampil berdepan dengan fakta dan
pembongkaran yang bakal kami buat.
"Semua ini bukti jelas Abdul Khalid hanya pandai bercakap sahaja tetapi takut berdepan dengan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, pihak penganjur terpaksa menolak semua wakil yang
dihantar Abdul Khalid kerana keempat-empat pemimpin pembangkang tersebut
tidak mempunyai kredibiliti untuk membuat sebarang keputusan berhubung
perjalanan kerajaan negeri memandangkan tidak berada dalam kepimpinan
kerajaan PKR Selangor.
Terdahulu, kekecohan berlaku di luar dewan IYC antara kedua-dua
penyokong MCA dan pembangkang sehingga memaksa polis campur tangan dan
menahan tiga individu kerana disyaki membawa senjata berupa besi.
Dalam pada itu, Tony menuduh Tee Yong bukan berniat mendedahkan fakta
tetapi sebenarnya mahu menggunakan kesempatan pada debat tersebut
menipu rakyat.
Malah, beliau turut mendakwa Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu tidak layak berdebat dengan Abdul Khalid.
Sementara itu, Faekah pula terus mencabar Tee Yong mengemukakan bukti
mengenai penyelewengan berkenaan walaupun pelbagai fakta sudah
didedahkan Ketua Biro Profesional Muda MCA itu sejak Julai lalu.
Namun ketika ditanya pemberita mengapa Abdul Khalid tidak hadir dan
memilih berada di Bangkok, Faekah bagaimanapun enggan mengulas.
/hwa: utusan.com.my | 13/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan