KUALA TERENGGANU 20 Okt. - Seramai 21,610 murid Tahun 2 hingga Tahun
5 di negeri ini berjaya mengkhatamkan al-Quran secara serentak dalam
majlis berasingan yang diadakan di setiap daerah hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 6,383 murid melakukannya di Kuala
Terengganu, 3,186 (Besut), 2,653 (Setiu), 2,551 (Marang), 2,555
(Dungun), 2,349 (Kemaman) dan 1,933 (Hulu Terengganu).
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, kejayaan itu adalah
bukti keberkesanan modul Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang
diperkenalkan kerajaan dalam usaha meningkatkan syiar Islam.
Beliau berkata, bagi Terengganu, sebanyak RM36 juta diperuntukkan
untuk perbelanjaan kelas Kafa dan sehingga ini, seramai 21,000 hingga
30,000 murid berjaya mengkhatam al-Quran setiap tahun.
"Penghayatan al-Quran perlu diterapkan seawal mungkin, malah semua
murid di Tadika Yayasan Islam Terengganu mempunyai modul khas pintar
al-Quran untuk mereka hayati sebelum melangkah masuk ke sekolah
kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis itu di
Stadium Tertutup Gong Badak di sini. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan