
Najib Tun Razak mengadakan sidang
akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara
Dato' Onn, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Muhyiddin Yassin. -
UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
*****
KUALA LUMPUR 19 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, UMNO sedang membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi memantau
dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana ahli yang melakukan
sabotaj ke atas parti serta calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan
raya umum akan datang.
Presiden UMNO berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh
Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku
Ismail serta dianggotai oleh beberapa ahli Majlis Tertinggi yang tidak
berkepentingan, ahli Lembaga Disiplin dan wakil ahli setiap bahagian
parti di seluruh negara.
Kata beliau, jawatankuasa yang akan diwujudkan itu selari dengan
peruntukan fasal 10.15 perlembagaan parti itu turut bertanggungjawab
memberi definasi terhadap perbuatan khianat dan sabotaj kepada parti
supaya setiap ahli jelas mengenai kesalahan tersebut.
Dengan kewujudan jawatankuasa itu, katanya, tindakan tegas dan segera
boleh diambil terhadap ahli tanpa perlu menunggu masa sehingga
berbulan-bulan seperti yang berlaku sebelum ini.
"Majlis Tertinggi bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa ini sebagai
cerminan tentang pendirian dan hasrat kita agar tindakan tegas diambil
terhadap sesiapa yang boleh merosakkan kepentingan parti.
"Kita juga setuju melantik anggota di setiap bahagian yang boleh
memberi laporan terus kepada jawatankuasa tersebut ke ibu pejabat atau
secara dalam talian," katanya.
Najib yang juga Perdana Menteri berkata demikian selepas
mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Beliau menambah, antara bentuk kesalahan yang akan diperhalusi
jawatankuasa tersebut termasuklah menyokong parti lawan, menghasut untuk
menentang parti dan menyalah guna wang peruntukan pilihan raya.
Antara tindakan yang boleh dikenakan, katanya, adalah digantung keahlian atau dipecat daripada parti.
Sementara itu, menurutnya, Majlis Tertinggi turut meluluskan tiga
usul untuk dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO bermula 27 November
ini.
"Kita telah meluluskan usul ucapan dasar Presiden, usul ekonomi serta
usul agama dan pendidikan dan kita juga telah melantik wakil Majlis
Tertinggi dalam persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan