21 Oktober 2012

Mursyidul Am TIBAI minta Nik Aziz jangan berundur

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip secara sinis meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak mempedulikan gesaan beberapa pihak termasuk ahli peringkat akar umbi Pas supaya beliau berundur daripada jawatan Mursyidul Am parti itu.
Menurut Muhammad Zahid, ini kerana Nik Aziz mempunyai lima kriteria istimewa yang tidak ada pada pemimpin Pas lain bagi mengetuai parti tersebut.
Pertama katanya, Nik Abdul Aziz merupakan seorang yang mengutamakan perasaan sendiri dengan berdendam serta menentang UMNO sehingga sanggup membelakangkan Islam dan parti Melayu terbesar itu.
"Kedua, orang yang mahu menggantikan Nik Aziz mesti sanggup menjadi hamba Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun dalam proses itu Pas akan hancur. Ketiga, Nik Aziz sanggup meneruskan ukhuwah dengan DAP dan mempertahankan DAP sekalipun parti itu menentang hudud.
"Nik Aziz juga dilihat sombong, riak, bongkak dan bangga diri mendakwa tiada yang layak menduduki jawatan tertinggi Pas selain beliau serta kelima, beliau bersedia menggadaikan Pas kepada sesiapa sahaja walaupun terpaksa berkawan dengan syaitan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Muhammad Zahid mengulas kenyataan satu sumber dalaman Pas Selasa lalu yang memberitahu, Nik Abdul Aziz dalam satu majlis pernah menyatakan bahawa tiada siapa dalam Pas yang layak menggantikan beliau sebagai Mursyidul Am.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Muslim Othman menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai 'terlajak cakap'.
Muhammad Zahid menambah, kenyataan Nik Abdul Aziz serta tindak-tanduk beliau selama ini membuatkan Menteri Besar Kelantan itu kini merupakan liabiliti kepada Pas dan pakatan pembangkang, justeru menjadi aset kepada UMNO serta Barisan Nasional (BN).
"Oleh kerana itu, saya amat berharap supaya Nik Abdul Aziz kekal dan menemankan saya sebagai Mursyidul Am pertubuhan masing-masing kerana Malaysia kini hanya ada dua Mursyidul Am, kalau dia berundur maka saya akan hilang kawan," katanya sinis.

Tiada ulasan: