ALOR SETAR 19 Okt. - Slogan telus, amanah dan perbelanjaan berhemat
kerajaan Pas Kedah hanya indah di bibir apabila Laporan Audit Negara
2011 membuktikan terlalu banyak ketirisan dan salah laku pentadbiran di
peringkat kerajaan negeri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md.
Hanipah berkata, ibarat cacing kepanasan kerajaan negeri kini terpaksa
berdepan kemarahan rakyat dan menjawab pendedahan audit berkenaan.
"Mereka bercakap berkenaan pentadbiran telus dan mengkritik kerajaan
Barisan Nasional (BN), tetapi sekarang kerajaan Pas sendiri didapati
melakukan penyelewengan projek pembalakan di luar negara dan
penyelenggaraan projek perumahan rakyat.
"Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco beliau perlu
meminta maaf kepada rakyat kerana salah urus pentadbiran negeri itu,"
katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan audit terhadap pembelian saham projek
pembalakan dan perladangan bernilai RM31.21 juta oleh Kedah Corporation
Berhad (KCB) di Papua New Guinea (PNG) yang menyebabkan kerugian
dianggarkan sebanyak RM13.49 juta.
Menurut Ahmad Bashah, semasa sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)
lalu, Azizan pernah menegaskan kerugian pelaburan projek balak itu
adalah perkara biasa dalam perniagaan.
"Semasa menjawab soalan itu Azizan memandang ringan kerugian
berkenaan dan menjawab soalan tersebut dengan tiada rasa tanggungjawab.
"Tetapi hari ini, kita melihat kerugian melebihi RM4 juta seperti yang dimaklumkan kerajaan negeri sebelum ini," katanya.
Tambahnya, UMNO Kedah perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan ketirisan itu.
Ujarnya, dengan perkembangan terbaru daripada laporan audit itu juga
SPRM boleh melihat semula kes berkenaan serta menyiasat sama ada wujud
penyelewengan oleh mana-mana pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan