24 Oktober 2012

9 program di Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU 22 Okt. - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengatur sembilan program pelancongan berkonsep kegiatan sukan, fotografi dan rekreasi sempena Tahun Melawat Terengganu tahun depan (TMT2013).
Pengurus Besarnya, Wan Mat Amin Wan Daud berkata, kebanyakan program itu akan diadakan di Tasik Kenyir bagi mempromosi tasik buatan terbesar manusia itu di mata dunia.
"Kita mahu keindahan semula jadi Tasik Kenyir diteroka sepenuhnya sepanjang TMT 2013 nanti supaya pengunjung terutama pelancong luar dapat menimba pengalaman baru, sekaligus mempopularkan tasik itu di negara asal mereka," katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah kepada pemenang Kenyir Motorcross Challenge di sini hari ini.
Katanya tirai pelancongan Ketengah dimulakan dengan Pertandingan Memancing Jelajah Tasik Kenyir yang diadakan sebanyak lima siri iaitu mulai dari 10 hingga 11 Feb, 8-9 Mac, 12-13 April, 13-14 Sept dan 22-23 Nov 2013.
Selain itu, Kenyir Lake International Triathlon pula akan diadakan pada 10 Mac, Pertandingan Memancing Boat On The Road pada bulan April dan Festival Kenyir pula diadakan pada 16-20 Mei.
Keunikan tasik yang kaya dengan pelbagai hidupan akuatik itu turut diserikan dengan Kejohanan Power Boat Kenyir dan Kenyir Motocross Challenge pada bulan Jun.
Wan Mat Amin berkata Pertandingan Raja Serama Tasik Kenyir pula akan diadakan pada 29 Jun diikuti Pertandingan Melukis dan Fotografi Tasik Kenyir pada 1-31 Ogos sebelum tirai 2013 ditutup dengan Kenyir Cup.
"Selain kesemua pertandingan itu, pengunjung juga berpeluang menerokai keindahan dan sejarah di Gua Bewah dan Gua Taat seterusnya mengunjungi pusat santuari ikan kelah.
"Kenyir Island Hopping yang melibatkan pulau-pulau yang dibangunkan antaranya dengan Taman Rama-rama, Taman Herba, Taman Orkid, Taman Burung dan Taman Buah-buahan Tropika juga bersedia untuk menerima kedatangan pelancong sepanjang TMT 2013 nanti," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: