25 Oktober 2012

Bekas rakan Anwar perlu dipanggil

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Perjumpaan dua peguam Perancis dengan ahli-ahli Parlimen pembangkang hanya bermakna sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa Datuk S. Nallakaruppan, Umi Hafilda Mohd. Ali dan Datuk Shazryl Eskay Abdullah untuk turut serta.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim berkata, kehadiran mereka penting supaya kedua-dua peguam berkenaan memahami adakah benar isu utamanya adalah melibatkan kapal selam Scorpene atau hanya isu moral Ketua Pembangkang itu.
"Untuk mencari kebenaran dan keadilan maka sebagai peguam, sepatutnya mereka mesti bersedia mendengar pandangan daripada kedua-dua belah pihak dan bukan hanya menelan apa sahaja yang diperkatakan oleh Anwar atau orangnya.
"Hanya mereka yang rapat dengan Anwar layak menerangkan siapa Anwar sebenarnya. Bukannya mereka yang terpengaruh dan terpukau dengan imej yang hanya dilakonkan oleh Ketua Pembangkang itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Pembangkang dan tiga ahli Parlimen pembangkang sebelum ini dilaporkan menjemput dua peguam Perancis iaitu William Bourdon dan Joseph Breham bagi memberi taklimat mengenai isu rasuah dalam pembelian kapal selam, Scorpene.
Sehubungan itu, menurut Ruslan, saranan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta Anwar menjemput individu-individu yang pernah rapat dengannya amat bertepatan.
Ini adalah kerana jelas beliau, kesemua individu itu mampu memberi keterangan terperinci mengenai hobi dan kegiatan sambilan Ketua Pembangkang tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa Anwar menyatakan jumlah kos yang perlu ditanggung bagi membawa masuk dua peguam Perancis berkenaan.
"Kita mahu Anwar beritahu siapa yang biayai semua kos itu dan beliau juga harus menyatakan tujuan pertemuan. Adakah Anwar sendiri yang membiayai atau kuasa asing?" soalnya.

Tiada ulasan: