SEPANJANG penulis mengenali Datuk Dr. Hasan Ali,
beliau seorang yang cukup berhati-hati untuk mengulas tentang apa juga
perkara berkaitan dengan Datuk Abdul Aziz Nik Mat.
Namun kenyataan terbaru, Nik Abdul Aziz mengenai pentingnya Pas
bekerjasama dengan DAP seolah-olah mencabar kesabaran Hasan untuk terus
mempertahankan sikapnya daripada mengulas mengenai Menteri Besar
Kelantan itu.
Justeru Hasan melontar desakan supaya Nik Abdul Aziz berundur
daripada jawatan Mursyidul Am Pas dan menyerahkannya kepada Datuk
Dr.Haron Din yang kini merupakan Timbalan Mursyidul Am.
Mungkin bukanlah satu yang luar biasa jika pemimpin-pemimpin Pas akan
mempertahankan Nik Abdul Aziz apatah lagi demi kepentingan politik Pas
di Kelantan.
Bagaimanapun Hasan memberi pandangan ikhlas kerana sesiapa juga
mengkaji perjalanan politik Nik Abdul Aziz sejak beliau menjadi
Mursyidul Am ternyata Menteri Besar Kelantan itu kerap membuat
kenyataan-kenyataan yang dilihat boleh 'menggugat keutuhan Pas'.
Sikap Nik Abdul Aziz berbeza dengan Haron yang dilihat lebih
meletakkan kepentingan perjuangan Islam Pas mengatasi segala-galanya.
Haron bercakap atas dasar yang benar itu benar yang salah itu salah dan
dalam mengulas sesuatu isu Haron sentiasa berhati-hati agar tidak
menimbulkan kekeliruan.
Sikap ini berbeza dengan Nik Abdul Aziz yang jika mahu disenaraikan
kenyataan-kenyataan yang dibuat, banyak yang menimbulkan kekeliruan dan
keresahan bukan sahaja dalam kalangan penyokong Pas tetapi juga umat
Islam secara keseluruhannya serta dilihat sering membuat kenyataan
berdasarkan kepada kepentingan politik Pas semata-mata.
Dalam isu kenyataan Nasharudin Mat Isa yang mahu parti itu mengkaji
semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang contohnya, Nik Abdul Aziz
memberi isyarat seolah-olah bekas Timbalan Presiden Pas itu perlu
dikenakan tindakan apabila berkata mana-mana pemimpin yang tidak
mengikut peraturan boleh mengucapkan selamat tinggal.'
''Serupa sahaja, Karpal Singh (Pengerusi DAP), Nasha ke, Allahyarham
Datuk Asri Muda (bekas Presiden Pas), yang turut peraturan kita terima,
yang tak turut peraturan bye-bye," kata Nik Abdul Aziz pada 28 Ogos
lalu.
Bagaimanapun sehari selepas itu, Haron membuat kenyataan
mempertahankan Nasharudin dengan menegaskan kenyataan Ahli Parlimen
Bachok itu bukan satu kesalahan. Kata Haron, '' Saya melihat ia satu
kewajaran kerana akhir-akhir ini Pengerusi DAP, Karpal Singh kembali
mengeluarkan kenyataan yang amat keras dalam menolak hudud."
Jelaslah Haron dilihat lebih rasional dan benar-benar berfungsi
sebagai mursyid dan tidak terikut-ikut dengan rentak politik Parti
Keadilan Rakyat (PKR) mahu pun DAP, apatah lagi golongan Anwarinas di
dalam Pas.
Sikap ini berbeza dengan Nik Abdul Aziz yang dilihat oleh banyak
pihak lebih mementingkan kerjasama dengan kedua-dua parti itu dan sering
membuat kenyataan yang dilihat senada dengan puak Anwarinas.
Sebagai ahli politik Nik Abdul Aziz berhak untuk mempertahankan
perkara yang ada kepentingan dengan politik Pas, terutamanya berkaitan
dengan kerjasama dengan PKR dan DAP, tetapi janganlah sampai tindakan
dilihat boleh mencalar imej Pas dan mengelirukan umat Islam.
Contohnya, apabila Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur
sikap Nik Abdul Aziz yang dilihat melampau apabila meletakkan syarat
untuk bermuzakarah dengan UMNO, Nik Abdul Aziz membalas kenyataan
Harussani dengan menganggap mufti tersebut 'gatal mulut'. Malahan Nik
Abdul Aziz pernah menyifatkan kenyataan salah satu kenyataan Harussani
sebagai 'satu pandangan lapuk seorang mufti'.
Selain itu, Nik Abdul Aziz juga dilihat acap kali memperlekeh
perjuangan memartabatkan Islam yang dilakukan oleh UMNO sehingga beliau
pernah menuduh Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa
seseorang itu ke syurga.
Terbaru, pandangan yang dianggap mengelirukan oleh Nik Abdul Aziz itu
ialah apabila beliau mempertahankan kerjasama dengan DAP, biar pun
parti berkenaan secara tegas dan terbuka sudah menyatakan pendirian
menolak perjuangan negara Islam dan hukum hudud oleh Pas.
Dalam soal ini pun, Nik Abdul Aziz masih mahu berlembut kerana kata
beliau, kerjasama itu penting demi kemenangan Pas dalam Pilihan Raya
Umum Ke-13 nanti.
Malahan sikap politik Nik Abdul Aziz semakin terserlah apabila
menegaskan, kerjasama itu tetap diteruskan biar pun mendapat tentangan
akar umbi. Ramai berpendapat Nik Abdul Aziz membuat kenyataan itu kerana
percaya bahawa tiada siapa pun di dalam Pas yang berani menyanggah
beliau.
Keadaan itu berlaku seperti mana kata Hasan, '' Nik Aziz mempunyai
kedudukan istimewa di dalam Pas. Bagi kebanyakan ahli dan penyokong Pas,
mereka menganggap Nik Abdul Aziz segala-galanya. Beliaulah Mursyidul
Am. Beliaulah "Presiden". Beliaulah Menteri Besar dan beliaulah Tok Guru
dari sudut agama."
Tetapi persoalannya, sampai bilakah pemimpin dan penyokong Pas hendak
mempertahankan Nik Abdul Aziz yang diminta oleh Hasan untuk
bermuhasabah bagi melihat sama ada kehadiran beliau dalam hierarki
kepimpinan Pas benar-benar menguntungkan atau merugikan parti itu.
Dalam soal ini, penulis mengakui kehebatan dan pengaruh Nik Abdul
Aziz dalam memastikan Pas terus menjadi daya tarikan dalam kalangan umat
Islam. Malahan Nik Abdul Aziz jauh lebih berwibawa dalam soal politik
berbanding Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang yang dilihat kini sudah
kehilangan taring.
Namun dalam masa yang sama, jika Pas benar-benar mahu dilihat tegas
dalam perjuangan Islamnya, maka mereka juga harus mempunyai keberanian
untuk menilai semula kedudukan Nik Abdul Aziz. Sekarang ini pun sudah
ada dalam kalangan pemimpin Pas yang resah dengan kenyataan demi
kenyataan serta pendirian yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz.
Dalam banyak keadaan, mereka melihat kenyataan Nik Abdul Aziz tidak
menguntungkan politik Pas kerana mereka bimbang berdasarkan pengaruh
Mursyidul Am itu, apa kata beliau dianggap pendirian rasmi Pas.
Bagaimanapun, jika tiada pemimpin-pemimpin Pas yang bersetuju dengan
Hasan, jelaslah mereka lebih sayangkan Nik Abdul Aziz berbanding
perjuangan Pas kerana mereka pun tahu kesan akibat tindak-tanduk Menteri
Besar Kelantan tersebut.
Sepatutnya, mereka faham Haron juga seperti mana kata Hasan mempunyai
kemampuan dan kewibawaan yang setara dengan Nik Abdul Aziz. Mungkin
dari segi politik, Haron ada kekurangan tetapi dari segi ilmu dan
kemampuan untuk menjadi mursyid, Haron mempunyai kelebihan untuk
memastikan Pas berupaya kembali sebagai sebuah parti yang dihormati oleh
kawan dan lawan, bukannya dilihat sekadar 'pak turut' dalam pakatan
pembangkang.
Apa pun terserahlah kepada Pas untuk menentukan kedudukan Nik Abdul
Aziz sama ada hendak menggantikan beliau dengan Haron atau tidak. Bagi
Nik Abdul Aziz sendiri beliau pun sudah pernah menyatakan, 'masih tajam
untuk berfikir dan membuat penilaian atau keputusan."
Kalau itulah pengakuan beliau, maka sudah tentulah beliau juga boleh
memikirkan apa yang sepatutnya dilakukan ''Demi untuk menjaga keutuhan
dalam Pas dan menjadikan Pas terus berdarjat dan bermartabat sebagai
penjaga kepada perjuangan Islam.''
Atau Nik Aziz masih berpegang kepada pandangan beliau melihat tidak
ada sesiapa dalam Pas yang layak menggantikan beliau sebagai Mursyidul
Am.
Pandangan itu didakwa terkandung dalam ucapannya selepas pilihan raya
umum lalu di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan di hadapan wakil rakyat dan
pimpinan Pas negeri tersebut tidak lama dulu.
Kalau Nik Abdul Aziz mendakwa beliau tidak pernah berkata demikian
maka beliau perlu menyerahkan jawatan Mursyidul Am kepada Haron kerana
jelaslah Haron juga layak berada di kedudukan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan