
NAJIB Tun Razak melintasi barisan
kehormat Tentera Udara Filipina sejurus tiba di Pangkalan Udara
Villamor, Bulwagang Kalayaan, Manila bagi memulakan lawatan rasmi tiga
hari ke Filipina, semalam.
*****
MANILA 14 Okt. - Perdana Menteri tiba di sini petang ini bagi lawatan
rasmi pertamanya selama tiga hari ke negara ini dan memenuhi undangan
Presiden Benigno Aquino III untuk bersama-sama menyaksikan upacara
menandatangani rangka kerja perjanjian damai antara kerajaan Filipina
dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) esok.
Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Pangkalan Udara Villamor di sini pukul 4.10 petang ini.
Mereka disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri
Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah,
Datuk Seri Musa Aman; Setiausaha Luar Filipina, Albert F. Del Rosario;
Duta Filipina ke Malaysia, J. Eduardo Malaya; dan Kuasa Usaha Sementara
Kedutaan Malaysia di sini, Zakaria Nasir.
Esok, Perdana Menteri akan mempunyai jadual ketat bermula dengan
mengunjungi Tugu Peringatan Rizal di Taman Luneta sebelum diberi
sambutan rasmi di pekarangan Istana Malacanang, diikuti pertemuan empat
mata dengan Presiden Aquino III di Dewan Presiden di istana itu.
Kedua-dua ketua kerajaan akan menghadiri mesyuarat hubungan dua hala
bersama-sama delegasi termasuk Anifah; Ahmad Zahid; Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industi, Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Musa.
Najib dan Presiden Aquino III kemudian akan mengeluarkan kenyataan
bersama berkaitan hubungan kedua-dua negara sebelum Presiden Filipina
itu meraikan Perdana Menteri dan delegasi dalam satu majlis makan tengah
hari.
Pada kira-kira pukul 1.30 petang, Perdana Menteri dan Presiden Aquino
III akan ke Dewan Rizal di istana yang sama untuk menyaksikan upacara
menandatangani rangka kerja penjanjian damai antara kerajaan Filipina
dan MILF.
Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam Antarabangsa (OIC),
Ekmeleddin Ihsanoglu dijadual turut menyaksikan upacara bersejarah itu.
Sementara itu, Anifah yang ditemui wartawan Malaysia di sini berkata,
peranan Malaysia sebagai pengantara adil dalam perundingan antara
kerajaan Filipina dan MILF selepas ini akan diteruskan walaupun rangka
kerja perjanjian damai kedua-dua pihak akan ditanda tangani esok.
Menurutnya, peranan Malaysia selepas ini akan bergantung kepada butiran rangka kerja perjanjian damai tersebut.
Kita berharap perjanjian damai ini akan dipatuhi oleh kedua-dua
pihak. Dalam hal ini kita yakin kedua-dua pihak jujur untuk mencapai
misi perdamaian yang diusahakan selama ini," katanya.
Dalam pada itu, pada sebelah petang esok, Najib akan mengadakan
dialog dengan ahli-ahli perniagaan tempatan di sebuah hotel di sini
sebelum menghadiri Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia pada malamnya. -
UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan