9 Oktober 2012

Bajet pembangkang timbulkan masalah kewangan negara

KOTA BHARU 7 Okt. - Bajet yang dibentangkan oleh pakatan pembangkang boleh menimbulkan masalah besar kepada kedudukan kewangan negara sekiranya ia dilaksanakan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, penelitian yang dilakukan mendapati bajet yang berkenaan sebenarnya mengalami defisit lebih besar, bukannya sebanyak 3.5 peratus sebagaimana yang didakwa.
Malah, kata beliau, sekiranya semua perbelanjaan yang pembangkang hendak berikan termasuk cadangan menaikkan bayaran tunai kepada negeri-negeri tertentu, kerajaan akan mengalami pengurangan hasil kutipan kira-kira RM27 bilion dan ini sudah tentu memberi kesan kepada kewangan kerajaan.
"Kalau diambil kira semua sekali, sebenarnya bukan 3.5 peratus defisit bajet mereka, sebenarnya sekitar lapan peratus. Ini sudah pasti menimbulkan banyak masalah dalam negara.
"Negara-negara yang defisitnya besar seperti Greece, Sepanyol dan lain-lain sedang berhadapan dengan masalah serius sehingga mereka terpaksa mengambil tindakan drastik untuk mengurangkan perbelanjaan. Itulah sebenarnya implikasi bajet pembangkang, bukan defisit 3.5 peratus tetapi kira-kira lapan peratus dan ini akan menimbulkan masalah serius kepada kedudukan kewangan kerajaan dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan anggota Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri ini di sebuah hotel di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha turut hadir dalam kedua-dua majlis tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, sesi penerangan mengenai Bajet 2013 akan diperluaskan kerana ia mengandungi banyak manfaat kepada rakyat.
"Bajet 2013 memberi banyak faedah kepada rakyat, sekiranya tidak diberi penerangan maka ramai yang tidak mensyukurinya," katanya.
Dalam konteks Kelantan kata Mustapa, penerangan akan dilakukan oleh JPP termasuk melibatkan isu-isu berbangkit seperti pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra dan pengagihan wang ihsan yang sering dieksploitasi oleh pembangkang untuk kepentingan politik mereka.
Jelas beliau, secara realitinya Kelantan menerima banyak manfaat daripada bajet tersebut sama ada melalui projek-projek yang sedang dan akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Tiada ulasan: