
TAN Tuan Tat (tengah) bersama
sebahagian daripada 50 ahli DAP Cawangan Taman Seri Sungai Pelek, Sepang
sepakat membubarkan cawangan itu semalam.
*****
SEPANG 7 Okt. - Jawatankuasa DAP Sepang mahu membubarkan cawangan
parti itu di Taman Sri Sungai Pelek dan menarik kembali permohonan enam
cawangan baharu yang sepatutnya ditubuhkan ekoran tidak berpuas hati
dengan sikap pucuk pimpinan tertinggi.
Bekas Pengerusi DAP Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata,
enam cawangan baharu yang ditarik kembali permohonan adalah Taman
Fermanagh, Teluk Manggis, Sepang Kecil, Taman Kedidi, Taman Sri Bayu dan
Taman Sri Sungai Pelek (B) yang keseluruhannya dianggotai kira-kira 400
ahli.
Beliau berkata, pembubaran semua tujuh cawangan berkenaan sudah
mendapat persetujuan jawatankuasa serta ahli DAP di kawasan Sepang yang
kecewa dengan sikap tidak ambil peduli pucuk pimpinan negeri Selangor.
"Kami belum lagi menghantar resolusi dan minit mesyuarat mengenai
pembubaran cawangan ini kepada DAP Malaysia dan kami jangka akan
menghantarnya pada minggu depan.
"Mengenai permohonan cawangan baharu yang akan ditarik semula,
sebenarnya usaha ini telah tertangguh hampir setahun. Permohonan telah
dihantar sejak tahun lepas iaitu Jun, Julai, Ogos dan akhir Oktober
tetapi tiada jawapan diberikan," katanya dalam sidang akhbar digelar
Demokrasi Mati Dalam DAP Selangor di sini hari ini.
Pada masa sama, Tuan Tat turut meluahkan kekecewaan dengan tuduhan
dan fitnah dilemparkan ke atasnya yang sepatutnya tidak berlaku di dalam
parti.
"Ada pihak terbabit memfitnah saya dengan mendakwa saya menggunakan
149 kad pengenalan palsu untuk mendaftarkan ahli baharu bagi menubuhkan
beberapa cawangan parti di kawasan Sepang.
"Disebabkan itu saya dipanggil lembaga disiplin DAP mengenai perkara
ini. Fitnah itu memang tidak masuk akal dan saya sangat kecewa boleh
dituduh sedemikian rupa," katanya.
Selain itu, beliau menyifatkan pembubaran cawangan tersebut bakal
memberi pengajaran kepada pucuk pimpinan tertinggi DAP supaya tidak
melupakan ahli parti di peringkat akar umbi.
"Kami sudah tidak percaya lagi dengan DAP. Bagi pilihan raya akan
datang, kami akan memilih pemimpin yang betul-betul mengambil berat
terhadap kebajikan rakyat.
"Kuasa mengundi adalah hak masing-masing dan tiada siapa boleh
menghalang kami memilih calon pemimpin yang boleh membuat kerja,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan