KUALA LUMPUR 7 Okt. - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
berdialog dengan kira-kira 300 pemimpin gereja di Pulau Pinang baru-baru
ini dilihat sebagai satu usaha untuk menyelamatkan kedudukan politik
beliau.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, selain mengukuhkan
kedudukan sebagai Ketua Menteri, tindakan itu juga dilakukan oleh Guan
Eng bagi mengekalkan Dinasti Lim dalam kancah politik.
Tegas beliau, kedudukan pakatan pembangkang akan difikirkan kelak
selepas merasakan kedudukan Ketua Menteri Pulau Pinang itu stabil dan
mendapat sokongan dalam kalangan pemimpin-pemimpin gereja.
''Itu merupakan tujuan tunggal Guan Eng iaitu menyelamatkan kedudukan
peribadi beliau. Beliau juga mahu menyelamatkan Dinasti Lim dalam
politik.
''Jika telah mendapat kedudukan dan sokongan, baru Guan Eng mahu memperbetulkan pembangkang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Portal berita propembangkang, Malaysiakini kelmarin melaporkan Guan
Eng dalam program dialog di Pulau Pinang menyeru penganut Kristian tidak
berdiam diri walaupun berasakan mereka 'tidak bersalah, suci dan tidak
terlibat dalam perbuatan salah'.
Guan Eng berkata, walaupun penganut Kristian bertanggungjawab di
hadapan Tuhan, adalah penting untuk mereka menyuarakan 'keadilan untuk
semua' - slogan yang juga menjadi seruan pakatan pembangkang.
Tambah Choo Keong, usaha Guan Eng itu juga lihat sebagai satu
tindakan untuk menanam semangat politik kebencian antara kaum dan
penganut yang berkemungkinan akan mencetuskan masalah perkauman.
Katanya, tindakan itu satu yang tidak sihat dan boleh menimbulkan
suasana huru hara dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Mengulas isu yang sama, bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Ng Lum Yong berkata, tindakan memberi ceramah atau berdialog di gereja
sememangnya menjadi perkara biasa buat pemimpin DAP.
Katanya, ia jelas terbukti semasa pilihan raya umum Sarawak pada 2011
apabila beberapa ahli parlimen pembangkang yang beragama Kristian
menggunakan gereja dan kekuatan rumah ibadat itu untuk berkempen.
''Perkara ini telah menjadi kebiasaan kepada mereka. Oleh itu, rakyat
perlu faham sekiranya ia tidak dijaga dan ditangani dengan baik,
institusi keagamaan akan runtuh.
''Kempen atau program yang dilakukan di rumah ibadat itu bukan ke arah keagamaan sebaliknya ke arah politik," katanya.
Sementara itu, bekas pemimpin DAP, Tan Tuan Tat berkata, tindakan Guan Eng itu sesuatu yang tidak baik.
Katanya, tindakan mendekati pemimpin gereja itu dilihat salah satu
cara untuk menarik penyokong menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Guan Eng tidak perlu bersusah payah jika mahu menang besar dalam
pilihan raya umum akan datang. Apa yang penting beliau perlu menjaga
kebajikan akar umbi terlebih dahulu,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan