
Oh Tong Keong menunjukkan surat
tawaran pembelian tanah kosong di Taman Manggis daripada Lim Guan Eng
yang hanya memberi tempuh 30 hari bagi menjelaskan baki RM22,183,227.00
pada sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam. Kelihatan bersama Shaik
Hussein Mydin (kiri) dan Naib Ketua Pemuda Gerakan Negeri, H'ng Khoon
Leng.
*****
PULAU PINANG 5 Okt. - Tempoh 30 hari yang diberikan kepada Pemuda
Barisan Nasional (BN) untuk melunaskan bayaran baki pembelian tanah di
Taman Manggis di sini menunjukkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak
ikhlas untuk membantu rakyat miskin memiliki rumah sendiri.
Timbalan Ketua Pemuda BN negeri, Shaik Hussein Mydin berkata, Guan
Eng jelas enggan menjual tanah tersebut dengan menetapkan syarat yang
tidak munasabah sedangkan pihaknya telah menunjukkan kesungguhan dengan
membayar wang pendahuluan sebanyak satu peratus.
Menurutnya, tempoh 30 hari yang tidak munasabah itu sebenarnya
memberi peluang kepada Pemuda BN mengesyaki bahawa Guan Eng mempunyai
kepentingan dengan pembeli tapak tanah berkenaan, iaitu Kuala Lumpur
International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC).
"Tidak mungkin Guan Eng tidak tahu prosedur (jual-beli tanah)? Ini
bukan tanah Lim Kit Siang (bapa Guan Eng), ini tanah kerajaan negeri,
tanah rakyat.
"Mana boleh sesuka hati buat keputusan. Mana minit mesyuarat kerajaan negeri yang meluluskan penjualan tanah itu?
"Ini menunjukkan Guan Eng memang tidak mahu jual tanah tersebut. Bila
kita tunjukkan kesungguhan, dia pula buat cerita kartun suruh kita
bayar penuh dalam 30 hari," katanya dalam sidang akhbar di sini hari
ini.
Yang turut hadir Ketua Pemuda BN negeri, Oh Tong Keong.
Semalam, Guan Eng menerusi setiausaha politiknya, Ng Wei Aik memberi
tempoh 30 hari kepada Pemuda BN negeri untuk menyelesaikan bayaran baki
bagi pembelian tanah di Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin di sini.
Pemuda BN negeri kelmarin membayar wang pendahuluan secara tunai
sebanyak RM222,073 untuk membeli tanah seluas 0.45 hektar itu bagi
menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan pemaju swasta.
Tanah berkenaan sepatutnya dibina fasa kedua projek perumahan rakyat
(PPR) namun dijual oleh kerajaan negeri kepada KLIDC bagi projek
pembinaan hotel 19 tingkat, enam tingkat hospital persendirian dan lima
tingkat tempat letak kereta.
Pada 4 September lalu, Pemuda BN negeri menerima surat tawaran untuk
membeli tanah itu daripada kerajaan DAP Pulau Pinang dengan harga jualan
RM450 sekaki persegi.
Shaik Hussein menambah, berbeza dengan apa yang dialami pihaknya,
pemaju swasta pula diberi keistimewaan dan kelonggaran dalam urusan
jual-beli tanah milik kerajaan DAP Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan