KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kabinet bayangan
pembangkang bukan sahaja menjadi bukti kegagalan pakatan itu dalam
melaksanakan penyertaan seimbang dari semua wilayah tetapi
memperlihatkan amalan kronisme dan nepotisme.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih teruk
pembangkang sanggup mempertahankan kronisme serta nepotisme yang
melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya, Datin Seri Dr. Wan
Azizah Wan Ismail dan anak mereka, Nurul Izzah.
Pada masa sama, beliau berkata, sikap berdolak-dalik pembangkang yang
enggan mengakui senarai Kabinet bayangan tersebut walaupun didedahkan
oleh pemimpin mereka sendiri menunjukkan pakatan itu mahu mengelirukan
rakyat.
"Kabinet bayangan itu boleh dipertikaikan dari pelbagai sudut kerana
bukan sahaja tiada penyertaan menyeluruh membabitkan semua wilayah
tetapi sampai melibatkan penyertaan anak-beranak (kronisme dan
nepotisme).
"Mereka selalu mendakwa kita mengamalkan kronisme dan nepotisme
tetapi apabila kena pada mereka, pembangkang sanggup pertahan amalan
kronisme dan nepotisme ini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat
Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini malam ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kesemua presiden parti komponen BN.
Mengulas lanjut, Najib berkata, dalam sesebuah negara demokrasi,
Kabinet bayangan perlu dilaksanakan oleh pembangkang bagi membolehkan
rakyat membuat penilaian tetapi pakatan itu takut untuk mengumumkan
secara rasmi kerana sedar keadaan itu tidak membawa keuntungan politik
kepada mereka.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui beliau ada bertemu dengan
George Soros dua tahun lalu di New York, Amerika Syarikat selepas
penyangak mata wang berketurunan Yahudi tersebut memohon untuk bertemu.
"Ya, saya mengakui ada pertemuan selepas Soros memohon untuk bertemu
tetapi bukan dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan atau meminta dana
asing.
"Saya hanya memenuhi jemputan selepas Soros mengadakan pertemuan
dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan tidak lebih sekadar perjumpaan biasa
antara dua pihak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan