KOTA BHARU 12 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan tidak
mempunyai kuasa ke atas penemuan sebarang sumber asli di luar tiga batu
nautika dari pantai negeri ini.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, hanya
Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa penuh sekiranya sumber asli
tersebut ditemui di luar daripada jarak berkenaan.
Menurutnya, sempadan bagi menentukan kekuasaan di antara negeri dan
Kerajaan Pusat itu ditentukan ketika penubuhan Persekutuan Tanah Melayu
pada Februari 1948.
"Untuk menjelaskan soal ini, selain daripada sempadan yang dibuat di
peringkat pemisahan negeri dan negeri lain, maka di seberang laut atau
pun di pesisiran air telah pun ditentukan supaya kekuasaan negeri
berkenaan dilanjutkan sehingga tiga batu nautika.
"Selebihnya akan dikuasai oleh Kerajaan Pusat. Kalau ada sebarang
penemuan sama ada bijih timah atau pun apa juga yang berfaedah, kalau
ditemui dalam kawasan kurang daripada tiga batu nautika maka ia menjadi
hak dan milik negeri tetapi kalau ditemui di luar tiga batu nautika, ia
menjadi hak dan milik Kerajaan Persekutuan seperti ditentukan pada 1948
itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dipetik daripada video yang bertajuk,
Tengku Razaleigh 2012 - Tunaikanlah Apa Yang Dalam Perjanjian (Royalti)
di http://www.youtube.com/watch?v>nM-9q6N_NU0. Video berdurasi 12 minit itu dimuat naik di laman Youtube oleh Signal On pada 3 Oktober lalu.
Sebelum ini, Kerajaan Pas Kelantan mendakwa, mereka berhak
mendapatkan royalti hasil daripada minyak yang dikeluarkan oleh Petronas
kerana ia terletak dalam perairan negeri itu.
Perkara itu kemudiannya menjadi polemik yang berpanjangan apabila
pemimpin Pas memainkan sentimen di atas pentas ceramah biarpun ia telah
dibawa ke mahkamah untuk diadili.
Kesemua telaga minyak yang dituntut oleh Kerajaan Pas Kelantan berada lebih 60 batu nautika dari pantai negeri ini.
Sementara itu, Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas
berkata, beliau telah ditugaskan untuk berunding dengan kerajaan Sarawak
ketika penubuhan awal syarikat tersebut selepas timbul pertikaian.
"Saya telah dikirim oleh Kerajaan Pusat untuk berunding dengan Ketua
Menteri Sarawak ketika itu, Tun Abdul Rahman Yaakob dan saya telah
berjaya mendapat persetujuan dalam rundingan itu supaya kita
menyelesaikan perkara yang dibangkitkan di Mahkamah Kuala Lumpur.
"Segala-galanya ditentukan dengan persetujuan yang dibuat apabila
kita meletak hak masing-masing sama ada pusat dan negeri dalam satu
badan yang dinamakan Petronas.
"Dengan sokongan kerajaan negeri, Sarawak telah mencadangkan juga
supaya Petronas yang akan dibentuk ketika itu akan membayar lima peratus
kepada kerajaan Negeri Sarawak dan untuk menjaga keseimbangan antara
negeri dan pusat, Kerajaan Pusat juga meletak hak minyak mereka dalam
Petronas dan mendapat bayaran yang sama iaitu lima peratus," katanya.
Beliau turut diminta supaya berunding dengan setiap negeri di Tanah Melayu pada ketika itu untuk penubuhan Petronas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan