KEMATIAN Nur Irisyafida Balkis Abdul Azim dalam pangkuan ibunya di
Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) setelah dimasukkan ke hospital
selama beberapa hari akibat didera bukanlah kes terasing yang berlaku
dalam masyarakat kita kebelakangan ini. Balkis telah pun pergi
meninggalkan mereka yang menyayanginya terutama datuk dan nenek yang
meratapi kehilangannya dalam usia emas mereka.
Sebelum ini juga akhbar melaporkan kisah dua pelajar Malaysia di
Singapura yang melakukan aksi seks dan meletakkannya di internet untuk
tontonan ramai dan menganggap perbuatan itu sebagai rasional dan 'peduli
apa dengan orang lain, asalkan kami bahagia'.
Kedua-dua kejadian ini dan sebelum ini menggambarkan kecelaruan yang
jelas dalam sistem nilai dan sistem kekeluargaan kita. Misalnya, berita
tentang kematian anak kecil kerana deraan teman lelaki ibu dan celaru
tentang apa yang dianggap sebagai hal individu dan hak sebagai anggota
masyarakat.
Jika boleh berpatah balik dalam kes seperti penderaan (malah
pembunuhan) oleh seseorang yang dianggap sebagai teman lelaki ibu atau
teman wanita adalah sesuatu yang sudah banyak kali kita dengar dan baca
laporannya. Satu ketika dahulu kita dikejutkan oleh anak yang mati
disepak di padang bola. Kemudiannya kita juga membaca laporan teman
laki-laki warga asing yang mendera anak teman wanitanya.
Kepincangan seperti ini akan terus menjadi penyakit selagi kita
menganggapnya sebagai kes terpencil dan mengambil sambil lewa tanpa
tindakan berkesan oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab. Tentunya
pihak yang paling utama untuk bertindak ialah dalam kalangan anggota
masyarakat sendiri.
Ini adalah antara harga yang kita perlu bayar untuk pembangunan yang
berlaku secara tidak seimbang yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan
menuding jari. Lazimnya dalam masyarakat kita, itulah yang akan
berlaku. Orang agama akan menyalahkan pelbagai pihak yang dikatakan
tidak mengikut undang-undang dan lunas agama. Sesetengah pihak
meletakkannya di bahu kerajaan dan pihak berkuasa.
Bagi mereka yang sayangkan agama, bangsa dan tanah air, akan melihat
apa yang berlaku ini sebagai amanah dan tanggungjawab besar untuk
menggembleng segenap kekuatan yang ada bagi membanteras dan memastikan
ia tidak berulang atau paling tidak mengurangkan kesan daripada kejadian
seumpama ini.
Misalnya, satu sistem sokongan yang kuat perlu ada dalam kalangan
masyarakat hari ini daripada semua segi, terutamanya untuk membantu
mengatasi masalah yang berkait rapat hi-touch iaitu mental,
kejiwaan mahu pun hal-hal yang berkait rapat dengan sistem nilai,
kepercayaan dan pegangan yang melihat kepada kepentingan masyarakat
mengatasi kepentingan peribadi dalam apa jua perbuatan dan tindakan.
Pada masa sama institusi agama, masyarakat mahu pun pertubuhan
sukarela perlu diperkasakan dalam menyediakan sistem sokongan kepada
kumpulan yang berada dalam kelompok celaru pemikirannya apatah lagi yang
mempunyai tekanan hidup yang boleh membahayakan orang lain.
Sistem amaran awal perlu ada untuk memberikan maklumat dan menghantar
isyarat terhadap kemungkinan berlakunya tragedi dalam kalangan
masyarakat. Sistem amaran awal ini apabila diperolehi perlu dihubungkan
dengan sistem sokongan yang ada, termasuk jika perlu pihak berkuasa bagi
menangani sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.
Malah, semua pihak yang berwibawa dalam agama dan sistem sosial perlu
duduk semeja untuk mencari jalan terbaik mengatasinya secara bersama,
bersepadu dan saling menyokong antara satu sama lain. Kita perlu
kurangkan bertelagah dalam hal berkaitan perbezaan, sebaliknya mencari
titik persamaan untuk menjaga masyarakat agar pembangunan yang capai
pada masa hadapan benar-benar bersifat inklusif yang menekankan kepada
nilai hidup dan moral yang diterima sebagai norma bersama.
Kita terpaksa akur kepada kesibukan dalam mengejar kemajuan, malah
juga globalisasi yang membawa pelbagai nilai yang selama ini tidak
pernah dibayangkan. Menyalahkan globalisasi dan kehidupan yang
memberikan kita pelbagai tekanan termasuk kerjaya tidak akan
menyelesaikan apa-apa apatah lagi kita terus menuding jari.
Seorang pakar kaunseling memberitahu penulis apabila ditanyakan
tentang rungutan pelbagai pihak terhadap tekanan kerja yang dihadapi,
masalah besar yang kita hadapi adalah apabila seluruh proses dan sistem
kehidupan kita berubah dalam pelbagai kerangka yang disebabkan oleh
teknologi dan globalisasi, malangnya kita tidak bersedia malah
sesetengah kita masih berada dalam set minda lama dan jauh tertinggal di
belakang.
Ini tentunya amat benar jika dilihat kepada cara kita menyelesaikan
masalah sekarang ini. Ada yang tertanya-tanya bagaimana untuk mendidik
anak-anak yang jiwanya amat 'rapuh' sekarang ini apatah lagi apabila
perlu menjelaskan tentang pelbagai fenomena dan nilai yang berubah dan
amat terbuka ini.
Tentunya cara terbaik adalah kembali kepada asas dalam melihat dan
mengenal pasti masalah, nilai dan percaturan yang ada. Kita perlu
bersikap terbuka, tetapi tidak akur kepada nilai-nilai yang dianggap
bertentangan dengan asas dan pegangan utama iaitu agama. Walau terbuka
mana pun kita, agama akan perlu terus menjadi pedoman, kitabnya menjadi
asas dalam penentuan nilai dan ajarannya menjadi jalan untuk ditempuhi.
Agama sudah cukup untuk menjadi penyelesaian namun mereka yang
menggunakan agama sebagai cara menyelesaikan masalah harus juga melihat
keindahannya untuk dikongsi dengan orang lain, bukan semata-mata
bersikap menghukum dan menuding jari.
Agama mengajar kita untuk prihatin kepada nasib dan masa hadapan
masyarakat dan tamadun tingginya dengan menekankan kepada ketinggian
budi pekerti dan akal budi. Malah para akademia, cerdik pandai, para
sukarelawan serta mereka yang berautoriti perlu turut sama menyingsing
lengan untuk turun padang, bersikap realistik dan menghadapi cabaran
ini.
Kedegilan kita dengan hanya melihat kepada kepentingan diri, enggan
bertegur sapa, bodoh sombong dan angkuh dengan apa yang kita ada,
individualistik serta mendabik dada, akhirnya akan merosakkan masyarakat
dan negara.
Jika kita serius dengan pembangunan dalam acuan sendiri yang lestari,
maka kita perlu pastikan tragedi yang menimpa Nur Irisyafida Balkis dan
kisah dua remaja yang bangga dengan perlakuan sumbang mereka tidak lagi
berulang. Kitalah yang harus bertindak melakukan yang terbaik untuk
mengatasinya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan