24 Oktober 2012

Taktik Pas-DAP tidak lebih semata-mata mahukan kerusi

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng pernah membuat kenyataan pada tahun 2008, "Sekiranya Pas masih berdegil untuk melaksanakan hukum hudud, maka parti tersebut tidak akan sesekali bekerjasama dengan parti Islam itu."
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sering menegaskan bahawa sekiranya Pas menang, menegakkan negara Islam dan hukum hudud menjadi suatu kewajipan.
Dua kenyataan yang saling bercanggah ini bagi penganalisis politik melihatnya tentu ada maksud lain mengapa tahalluf siasi atau kerjasama politik terus berlaku antara Pas-DAP.
Asas pertama perjuangan Pas tidak lagi kepada negara Islam. Ia sudah longgar menjadi perjuangan negara berkebajikan.
Buku Jingga yang dijadikan sumber muafakat pakatan pembangkang tidak menyebut negara Islam atau pelaksanaan hudud di dalamnya.
Asas kedua, DAP masih bekerjasama dengan Pas walaupun Pas tetap menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah untuk negara Islam dan pelaksanaan hudud.
Pas juga terus kekal bekerjasama dengan DAP walaupun DAP sering menghina Pas dengan perjuangan negara Islam dan hududnya.
Kalau begitu apa maksud Pas-DAP masih bekerjasama walaupun mereka sedar bahawa dasar perjuangan Pas tidak sama dengan dasar perjuangan DAP dalam isu negara Islam dan hukuman hudud.
Pada hemat penulis mereka terpaksa pejamkan mata daripada perbezaan yang ada supaya masing-masing dapat menggunakan satu dengan yang lainnya. Bagi DAP agar mereka dapat tumbangkan Barisan Nasional dan bagi Pas, dendam terhadap menumbangkan UMNO tertunai.
Tidak ada cara lain bagi DAP menumbangkan Barisan Nasional atau UMNO melainkan menggunakan Pas untuk mendapat sokongan orang Melayu. Dan tidak ada cara lain untuk mendapatkan kerusi lebih melainkan gunakan DAP untuk dapatkan sokongan orang Cina.
Soalnya, selepas itu apa. Kalaulah dengan kemenangan pakatan pembangkang DAP bersedia menerima pelaksanaan Islam dan hudud, ia suatu hal yang boleh difahami.
Tetapi dengan jelasnya DAP menentang negara Islam dan hudud, dan Pas beria-ia benar ingin melaksanakan negara Islam dan hudud. Bolehkah ini terjadi bila mereka berkuasa nanti?
Pas bakal menggunakan helah untuk tidak bersama DAP dan PKR pada waktu itu kerana soal dasar dan ideologi. Pas tidak boleh mengharap Anwar Ibrahim dalam soal negara Islam dan hukuman hudud. Pendirian Anwar dalam isu ini adalah longgar.
Apakah kemungkinan Pas akan menjadikan kerusi yang dimenanginya sebagai kuasa tawar-menawar terhadap pihak lain bagi menubuhkan kerajaan. Kalau tidak ini, kemungkinan apa lagi. Pada hemat penulis Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali tahu akan muslihat ini.
Kalau begitu, tujuan DAP bersama Pas tidak lebih untuk memecah belahkan undi orang Melayu atas maksud kuasa. Pas pula perlukan undi orang bukan Melayu untuk mendapatkan kerusi lebih. Untuk bentuk sebuah kerajaan atas asas persamaan ideologi dan fahaman tidak mungkin.
Taktik Anwar Ibrahim untuk sampai ke Putrajaya sangat mudah dibaca. Perkenalkan Buku Jingga untuk menjadi rujukan semua, tukar hala tuju perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan diharap cita-cita Pas menegakkan negara Islam terkubur, maka soal dasar dalam membentuk kerajaan baru boleh diputuskan dengan mudah.
Di atas kertas Pas tidak pernah mengatakan tidak bersetuju dengan kehendak Buku Jingga. Pas mengatakan bahawa ada muslihat di sebalik penerimaan negara berkebajikan. Kalau begitu apa maksud Pas terus menegaskan bahawa masih utuh dan teguh memperjuangkan negara Islam dan hukum hudud. Apakah taktik Pas dari segi syarak sesuatu yang syarie kerana ada kecelaruan di situ.
Pada hemat penulis taktik ini bersifat politik, bukannya perjuangan dasar ingin menegakkan negara Islam atau melaksanakan hudud. Penulis percaya orang Pas boleh menghidu taktik ini. Melainkan DAP dan PKR bersetuju untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud. Kalau tidak apa maksud mereka bekerjasama.
Kalau begini pendirian yang diambil oleh Pas, tidakkah ini suatu helah yang tidak bermaruah. Kerana politik dan kuasa, Pas sanggup menerima DAP atas maksud kerusi dan kuasa di samping melangsaikan hutang dendam terhadap UMNO walaupun terang-terangan DAP menghina Pas.

Tiada ulasan: