KUALA LUMPUR 10 Okt. - Para mahasiswa harus sentiasa bersifat
dahagakan ilmu, mencari kebenaran dan mampu menyatakan pendirian dalam
satu-satu isu, meskipun pendirian yang dibuat oleh mahasiswa itu berbeza
dengan pandangan kerajaan atau pihak lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendirian dan
pandangan mahasiswa tersebut mestilah berasaskan kepada fakta serta
kebenaran dan bukannya retorik, andaian, jauh sekali termakan taburan
janji yang tidak berpaksikan realiti.
"Jika tidak kita akan gagal memahami realiti apabila kita
meninggalkan dunia mahasiswa," katanya ketika berucap pada Pertandingan
Akhir Debat Piala Perdana Menteri Antara Institusi Pengajian Tinggi 2012
di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin dan Pemangku Naib Canselor UM, Prof. Dr. Hamdi Abd. Shukor.
Perdana Menteri di dalam ucapannya turut menyatakan komitmen kerajaan
mendengar suara mahasiswa serta generasi muda kerana mereka juga
sebahagian daripada rakyat negara ini.
Tambahan pula beliau berkata, golongan terbabit merupakan pihak yang
bakal menerajui negara ini dan sudah tentu kerajaan perlu membuat
persiapan secara tersusun serta terancang untuk mereka.
Najib turut menyentuh keputusan kerajaan meminda Akta Kolej dan
Universiti (AUKU) yang antara lain percaya dengan kematangan mahasiswa
masa ini.
"Kita mahu lahirkan mahasiswa yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan
di dalam akademik malah kita mahu mahasiswa yang mempunyai pemikiran
kritis dan kreatif.
"Mereka ini merupakan generasi baru yang harus kita angkat pada
kedudukan sewajarnya supaya mereka akhirnya mampu membawa negara ke arah
lebih cemerlang lagi," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan