
Mahful Wahid (paling kanan) bekas dan
ahli DAP yang melancarkan bantahan secara aman terhadap Selcat yang
didakwa banyak kepincangan di Shah Alam, semalam. - Utusan/Abdul Razak
Idris
*****
SHAH ALAM 11 Okt. - Jawatankuasa Mengenai
Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat)
diumpamakan seperti 'kucing tidur' (sleeping cat) kerana gagal mengambil
sebarang tindakan terhadap tiga aduan yang dibuat oleh bekas
ketua-ketua cawangan DAP negeri ini.
Aduan-aduan tersebut ialah mengenai pengendalian wang sewaan Pusat
Perkhidmatan Ahli Parlimen Serdang 3 di Cheras, Kuala Lumpur yang
mempunyai elemen rasuah sementara aduan kedua dan ketiga adalah aduan
terhadap salah laku pemimpin-pemimpin DAP Selangor.
Menurut bekas Ketua DAP cawangan Teluk Manggis, Sungai Pelek, Sepang
dekat sini, Mahful Wahid, Selcat sepatutnya menyiasat setiap aduan yang
dibuat oleh rakyat terutama mengenai ahli DAP negeri memandangkan Naib
Pengerusinya, Datuk Teng Chang Kim juga Pengerusi Selcat.
"Banyak kepincangan wujud dalam kerajaan negeri Selangor hari ini
yang menunjukkan layanan tidak adil Selcat kepada aduan-aduan yang
dibuat oleh rakyat terhadap pemimpin DAP.
"Sepatutnya aduan yang dibuat oleh rakyat disiasat dan dibicarakan
dengan adil. Tetapi Selcat mengamalkan sikap pilih kasih atau kronisme
dalam mengadili sesuatu aduan, jika ada aduan yang menyentuh kepentingan
DAP, aduan itu akan diketepikan," dakwanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sekali
lagi surat aduan berhubung salah laku pemimpin DAP kepada kakitangan
pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Annex di sini
hari ini.
Turut mengiringi beliau ialah bekas Ketua DAP cawangan Pantai Sepang
Putra, R. Vellaisamy dan bekas Juruaudit DAP cawangan Serdang Baru Seri
Kembangan, Yap Kon Min.
Kesemua mereka kemudian berhimpun secara aman di hadapan Bangunan
Setiausaha Kerajaan Negeri sambil mempamerkan sepanduk yang tertera
perkataan Selcat Sleeping Cat, Cocky (angkuh), Arrogant (sombong) dan Tidak Tulus.
Kata Mahful, mereka memberi tempoh 14 hari kepada Selcat untuk
mengambil tindakan terhadap aduan-aduan yang dibuat pada 8 Mei lalu dan
hari ini.
Sementara itu Kon Min mempersoalkan mengapa separuh daripada sewa
sebanyak RM1,000 sumbangan kerajaan negeri untuk bayaran Pusat
Perkhidmatan Ahli Parlimen Serdang 3 di Cheras, masuk ke tabung pusat
perkhidmatan tersebut.
"Selain aduan terhadap pusat perkhidmatan tersebut, kami turut
membuat dua aduan kes salah laku beberapa pemimpin DAP kepada Selcat
yang mana kes sama turut dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) beberapa bulan lepas dengan bantuan Tan Tee Beng (Ahli
Parlimen-Nibong Tebal).
"Jika aduan kali kedua ini tetap tidak dilayan, kami semua akan
menghadiahkan Chang Kim sehelai permaidani, agar mudah pihak Selcat
melindungi kesemua aduan rakyat di bawahnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan