PARIT 11 Okt. - Menteri Besar Perak, Datuk Seri
Dr. Zambry Abd. Kadir menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)
supaya menyiasat pendedahan sebuah blog mengenai dakwaan salah guna
kuasa melibatkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar
Jamaluddin.
Menurut beliau, pendedahan blog berkenaan amat serius kerana turut
menyertakan bukti berupa surat yang dikeluarkan oleh pejabat beliau
sendiri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang dan juga
Menteri Besar.
''Saya khuatir dan orang ramai juga mula bercakap, kalau melibatkan
ahli politik Barisan Nasional (BN) cepat sekali (tindakan) diambil.
Dalam kes ini saya tidak tahu ada kes atau tidak, tetapi SPRM patut
siasatlah," katanya selepas melancarkan Projek Rancangan Perumahan
Tersusun (RPT) Perwira di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pendedahan sebuah blog budakbenteng.blogspot.com
yang memuat naik dokumen berupa surat sokongan yang dikeluarkan oleh
pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang
berhubung permohonan sebuah syarikat bagi melaksanakan projek menaik
taraf jalan di Lekir dekat sini.
Surat permohonan yang ditandatangani oleh Pegawai Khas Mohammad Nizar sendiri, Hamidun Ahmad antara lain menyebut:
''Pihak pentadbiran ini mengesyorkan SIPCOMZU ENTERPRISE beralamat di
No. 61 Persiaran Venice Sutera 1, Desa Manjung Raya, 32200 Lumut untuk
menjalankan kerja-kerja tersebut sebagaimana yang dikehendaki."
Pada ruang sebelah kanan surat itu tertera nota ditandatangani
Mohammad Nizar dengan cop Menteri Besar Perak Darul Ridzuan yang
berbunyi: ''Pengarah UPEN, harap proses."
Penulis blog itu mempersoalkan tindakan Mohammad Nizar yang
mengeluarkan arahan seumpama itu sedangkan ia sepatutnya dilakukan
melalui proses pemberian tender.
Zambry berkata, dari segi amalan kerajaan negeri, Menteri Besar
terikat dengan peraturan-peraturan termasuk nasihat yang diberi pihak
SPRM.
''Misalnya, Menteri Besar tidak buat surat-surat supaya syarikat itu
atau syarikat ini diberikan (projek). Itu bukan amalan kerajaan," jelas
beliau.
Menurut beliau, sudah wujud persepsi bahawa SPRM seolah-olah takut
untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang sedangkan
terdapat bukti yang didedahkan pelbagai pihak.
Sementara itu, Mohammad Nizar yang dihubungi memberitahu, beliau
tidak tahu menahu mengenai pendedahan blog tersebut tetapi menuduh ia
sebagai satu pembohongan.
''Ini pasti satu pembohongan, kalau nak tahu betul atau tidak, you
kena tanya blogger itulah. Saya tidak tahu apa surat yang dimaksudkan,
biar saya tengok blog itu dahulu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan