14 Oktober 2012

Pemuda Pas turut bidas Mobashar

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Pemuda Pas hari ini menyatakan sokongan terhadap Datuk Dr. Haron Din yang membidas kenyataan bekas Ahli Parlimen India, Mobashar Jawed Akbar kerana meremehkan peranan Islam dalam pembentukan sesebuah negara
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, penegasan Timbalan Mursyidul Am Pas itu adalah jelas kerana Islam adalah teras utama dalam membangunkan sebuah negara yang berlandaskan tuntutan syariat Islam.
‘‘Baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen India itu ada mengeluarkan buku yang menganggap Islam hanya untuk menjalin persaudaraan dan bukan untuk menubuhkan sebuah negara. Jelas di dalam Pas, kita menolak fahaman sedemikian kerana lebih berpaksi kepada doktrin fahaman Islam liberal.
‘‘Masyarakat umum tahu bahawa Pas adalah sebuah parti yang berpandukan Islam. Islam adalah penyelesaian terbaik bagi semua masalah ummah termasuk menyelesaikan permasaalahan negara,’’ katanya seperti dipetik dalam akaun laman sosial Facebook miliknya.
Beliau mengulas kenyataan Haron berhubung Mobashar yang meremehkan Islam ketika diundang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku tulisannya, Tinderbox: The Past and Future of Pakistan di ibu negara baru-baru ini.
Nasruddin berkata, Islam menawarkan apa sahaja yang melengkapkan kehidupan manusia termasuklah soal pembentukan dan pentadbiran negara.
Sekali gus ujarnya, hal tersebut melambangkan Islam sebagai agama yang lengkap serta komprehensif dan kedudukannya jelas termaktub di dalam al-Quran.
‘‘Oleh yang demikian, kami di peringkat Dewan Pemuda Pas menyokong penuh kenyataan beliau (Haron). Kami memang tidak bersetuju dengan Mobashar. Kami yakin bahawa Islam adalah penyelesaian yang terbaik untuk semua aspek.
‘‘Manusia tidak boleh mengasingkan atau mengehadkan Islam hanyalah untuk menjalinkan persaudaraan. Walhal untuk membentuk sebuah negara, pentadbiran yang amanah, tidak menerima dan memberi rasuah, tidak tiris serta menjaga kebajikan rakyat juga adalah salah satu asas yang sangat ditekankan pelaksanaannya oleh Islam,’’ katanya.
Oleh itu tegasnya, Pas akan terus konsisten mengambil Islam sebagai wadah utama dan penyelesaian terbaik dalam segala perkara yang ingin dilakukan atau dilaksanakan.
‘‘Pada masa sama, kami tetap menghormati budaya dan agama lain serta komited mewujudkan suasana harmoni dan sejahtera dalam masyarakat majmuk di negara ini. Islam adalah agama rahmat, agama keadilan dan agama yang membawa kemakmuran sejagat jika dilaksanakan dengan baik,’’ tambahnya.

Tiada ulasan: