24 Oktober 2012

Sikap membisu kerajaan Pas Kedah dibidas

TAN Keng Liang (kanan) bersama Naib Ketua Pemuda Gerakan, Wei Ren Tong (dua dari kanan), Chuah See Seng (tiga dari kanan), dan Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Bakar Bata, Ng Tuan Liang (kiri) menunjukkan salinan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Alor Setar, Kedah, semalam.
*****
ALOR SETAR 22 Okt. - Kerajaan Pas Kedah dibidas kerana terus membisu dalam isu projek pembalakan dan peladangan bernilai RM31.21 juta oleh Kedah Corporation Berhad (KCB) di Papua New Guinea (PNG) yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM13.49 juta dan bayaran melobi sebanyak RM1.21 juta.
Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata, pihaknya terpaksa membuat laporan polis hari ini ekoran tiada sebarang maklum balas selepas seminggu isu itu dibangkitkan pelbagai pihak berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Katanya, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut untuk merungkai kebenaran demi menjaga nama baik negara.
“Diharapkan kes ini akan mendedahkan kepada rakyat berhubung perkara sebenar yang berlaku kerana projek itu mengakibatkan kerugian besar kepada Kedah," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira pukul 10.30 pagi ini di sini.
Khamis lalu, Keng Liang meminta Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberi penjelasan berhubung projek itu yang mengalami kerugian RM13.49 juta berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Kerugian yang dinyatakan dalam laporan itu membabitkan pembayaran goodwill kepada vendor sebanyak RM1.21 juta termasuk untuk tujuan melobi menteri negara itu, pembayaran perbelanjaan mobililisasi (RM3 juta), komisen dan yuran guaman pinjaman (RM1.6 juta) dan pinjaman daripada lima syarikat dan kos berkaitan (RM7.68 juta) mulai 2007 hingga Mac 2011.
Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara 2011 turut mendedahkan, kerajaan negeri membuat pinjaman kewangan mencecah RM135 juta sedangkan nilai projek melalui harga belian saham hanya RM31.21 juta.
Keng Liang berkata, kerajaan negeri tidak sewajarnya berdiam diri terhadap laporan itu kerana isu berkenaan amat serius.
“Biar polis siasat dulu kes ini. Sekiranya perlu, polis boleh merujuk kes tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.
Beliau menaruh harapan tinggi kepada polis menyiasat kes tersebut dan berharap kerajaan negeri serta menteri besar memberi kerjasama dalam membantu siasatan kes tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, segala ketirisan dan kerugian yang dilaporkan tidak boleh ditutup kerana melibatkan jumlah yang sangat besar.
“Segala kepincangan mesti diberi penjelasan. Kita mahu kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu dan pengurusan syarikat terlibat dan janganlah berdiam diri," katanya.

Tiada ulasan: