24 Oktober 2012

UMNO tidak kisah Nik Aziz bertanding

HULU LANGAT 22 Okt. - UMNO tidak kisah sama ada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu terus bertanding atau tidak pada pilihan raya umum akan datang tetapi ahli akar umbi Pas patut menilai adakah Menteri Besar yang berusia 81 tahun itu masih tajam fikirannya atau tidak.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu mempunyai keyakinan tinggi merampas semula Kelantan walaupun Nik Abdul Aziz kekal bertanding kerana UMNO sudah mempersiapkan barisan kepimpinan yang mantap bagi menjayakan tujuan berkenaan.
Katanya, dengan barisan kepimpinan berwibawa diketuai Pengerusi Perhubungan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, rakyat Kelantan boleh membuat perbandingan siapa yang lebih layak dan sesuai untuk memimpin negeri tersebut kerana selama 22 tahun Pas memerintah terbukti gagal membangunkan Kelantan.
"Itu hak dia (Nik Abdul Aziz). Bukan hak saya nak komen apa. Terserah kepada kepimpinan Pas, kalau merasa Nik Abdul Aziz masih bertenaga dan tajam fikirannya, itu soal Pas. Pada saya terserah kepada rakyat Kelantan untuk menilai sama ada keputusan tersebut betul atau tidak.
"UMNO tiada masalah, Pas hendak letak siapa pun di Kelantan kita sudah bersedia dan mempersiap jentera kita. Kita menawarkan satu kepimpinan yang berwibawa untuk memimpin Kelantan dan rakyat boleh buat perbandingan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Nik Abdul Aziz memberi bayangan untuk bertanding dan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada pilihan raya umum akan datang walaupun keadaan fizikalnya diragui banyak pihak.
Menurut Muhyiddin, rakyat Kelantan perlu menilai seseorang bakal Menteri Besar bukan sahaja dari segi imej Islamik tetapi harus mempunyai pakej lengkap khususnya dari segi kemampuan pengurusan dan pentadbiran, agar masalah berbangkit di negeri itu dapat diselesaikan.
"Kalau beliau kekal di situ dalam tempoh lima tahun akan datang bagaimana nasib Kelantan? Saya nak orang Kelantan jawab. Sedangkan isu kemiskinan dan masalah air bersih pun beliau gagal selesaikan. Ini patutnya menjadi asas. Bukannya soal beliau bertanding atau tidak," katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau dan mengambil terhadap ahli parti yang mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, badan pemantau akan dilantik dalam tempoh terdekat.
Jelas Muhyiddin, badan pemantau itu bukan sekadar bertindak sebagai mata dan telinga kepada jawatankuasa khas tetapi turut bertanggungjawab menasihat mana-mana pihak yang berpotensi untuk mensabotaj agar kejadian berkenaan tidak berlaku.
"Mana-mana kawasan yang berkemungkinan boleh berlaku kejadian sabotaj dan sering ada sejarah tersebut sebelum ini, komuniti pemantau boleh membuat program sebelum kejadian sabotaj berlaku dengan memanggil, berbincang dan memberi nasihat," katanya.

Tiada ulasan: