KUALA LUMPUR 16 Okt. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat pernah menyatakan dalam satu majlis bahawa tiada siapa dalam Pas
yang layak menggantikan beliau untuk memegang jawatan Mursyidul Am.
Sumber dalaman Pas berkata, walaupun Nik Abdul Aziz yakin bahawa
terdapat beberapa calon yang layak menggantikannya bagi menjawat jawatan
Menteri Besar, namun beliau melihat sebaliknya bagi jawatan Mursyidul
Am.
Menurut sumber itu, Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika berucap di
hadapan barisan pimpinan Pas Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12
(PRU-12) dan sebelum beliau berlepas ke Mekah untuk menunaikan umrah di
Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).
"Dalam ucapan dalam satu majlis di Putik di hadapan pimpinan Pas
Kelantan selepas PRU-12 dan sebelum beliau menunaikan umrah, Nik Abdul
Aziz berkata, beliau melihat tidak ada siapa dalam Pas yang layak untuk
menggantikan beliau sebagai Mursyidul Am Pas," kata sumber tersebut
ketika dihubungi, di sini.
Beberapa pihak sebelum ini menggesa supaya Nik Abdul Aziz berundur
dari kedudukannya selaku pemimpin tertinggi parti itu kerana dilihat
sering mengeluarkan kenyataan memenangkan DAP walaupun sekutunya itu
jelas menentang dasar perjuangan Pas.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia
(Muafakat), Ismail Mina Ahmad antara individu yang lantang menggesa Nik
Abdul Aziz berundur dari jawatan tersebut.
Ini kerana, menurut Ismail, Nik Abdul Aziz gagal bertindak secara
mursyid sehingga terikut-terikut dengan rentak dan percaturan politik
golongan 'Anwarinas'.
Terbaru, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali turut menggesa
supaya Nik Abdul Aziz menyerahkan jawatannya itu kepada Timbalannya,
Datuk Haron Din.
Kenyataan itu dibuat Hasan yang juga Presiden jati ekoran Nik Abdul
Aziz menegaskan bahawa Pas tetap akan bekerjasama dengan DAP demi
mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 meskipun mendapat
tentangan daripada ahli Pas di peringkat akar umbi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan