28 November 2012

Calon, pengundi dan perpecahan Islam


Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
MENJELANG Perhimpunan Agung UMNO 2012, ramai melihat trend Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) perlu menjadi iktibar di mana wanita dan generasi muda menjadi penentu utama kemenangan Presiden Barack Obama.
Ini akan meletakkan perjuangan besar kepada sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bagi mendekati seterusnya menarik pengundi muda dan wanita kepada Barisan Nasional (BN).
Namun, adakah semua pemimpin UMNO dan BN bersedia memantapkan parti demi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) atau masih ramai yang selesa di takuk lama?
Bagi Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman, soal calon menjadi topik utama Perhimpunan Agung UMNO setiap kali dekat dengan tarikh PRU.
"Bab calon ini, tidak semestinya yang paling aktif atau yang memegang jawatan dalam parti sahaja dipilih tapi lebih penting ditonjolkan mereka yang diterima baik rakyat setempat, bukan penyokong BN sahaja.
Malangnya, bila ada yang rasa dia lebih layak tapi tidak dicalonkan, mula sabotaj. Kerana itu ada kerangka perundangan terhadap yang langgar peraturan kali ini untuk bertindak tegas sebelum habis PRU-13," katanya.
Tambahnya, calon di negara ini dipilih pucuk pimpinan mengikut maklumat yang diterima melalui pelbagai saluran, berbeza dengan AS yang mengadakan pra-pemilihan bagi mereka yang berminat menawar diri bertanding.
Namun, beliau merasakan pencalonan untuk PRU-13 perlu dibuat lebih awal agar mereka yang tidak dicalonkan dapat dirunding dengan memberikan tempat lain dalam parti sebagai ganti.
"Kalau dah hujung sebelum PRU baru diumumkan, sudah tidak boleh runding untuk redakan keadaan. Kalau boleh, pengumuman dibuat seawal mungkin, paling baik sebulan sebelum PRU-13.
"Di negeri-negeri yang kita tidak pimpin seperti Kedah, Selangor dan sebagainya juga perlu tunjukkan siapa akan jadi ketuanya (kalau menang) supaya semua dapat beri tumpuan kepada kepimpinan utama dan juga runding dengan mereka yang tidak dipilih," ujarnya.
Beliau membangkitkan perkara tersebut berikutan ramai yang sudah bersuara memohon kepimpinan parti mengambil kira baik buruknya kerana merasakan elok diumumkan awal berbanding cara dahulu.
Tambahnya, memandangkan calon boleh menang itu bermaksud individu yang 'lebih putih daripada putih', sepatutnya tiada masalah peribadi yang boleh dijadikan bahan kepada pihak lawan sekalipun diumum lebih awal.
Menyebut aspek pemantapan UMNO pula, beliau melihat usaha tersebut sentiasa berterusan tetapi perhimpunan tahun ini lebih penting memandangkan PRU-13 mungkin diadakan pada bila-bila masa dan ahli-ahli perlu lebih sedar akan matlamat parti untuk menang.
"Obama menang kerana wanita dan orang muda. Oleh itu, sayap-sayap UMNO khususnya Pemuda dan Puteri yang mewakili generasi Y perlu mempunyai rangka kerja akar umbi agar lebih menyerlah.
"Kita jangka trend sama seperti di AS berlaku di negara ini terutamanya bagi yang pertama kali mengundi dan kerana itu Pemuda serta Puteri perlu ada 'kad laporan' bagi ahli mereka yang mengundi BN," tegasnya.
Menurut beliau, kad laporan itu perlu diberi keutamaan bagi menunjukkan berapa ramai di kalangan ahli sayap UMNO yang boleh mengundi, sudah berdaftar atau belum berdaftar kerana konsep demokrasi menetapkan siapa mendapat undi terbanyak, maka dia yang akan berkuasa.
Tambahnya, apa juga program ataupun karnival yang dijalankan sayap UMNO dan BN bukan sahaja perlu menarik perhatian generasi Y malahan perlu menunjukkan parti relevan kepada kehidupan mereka.
Beliau mengambil contoh pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan media sosial merapatkan hubungan dengan generasi Y, malahan boleh duduk bersembang, berinteraksi tanpa jurang pengasingan antara ahli politik dan pemerintah dengan masyarakat, khususnya orang muda.
"Cara beliau itu perlu menjadi ikutan pemimpin lain di semua peringkat. Malangnya, yang kita nampak Perdana Menteri dan timbalannya, serta naib-naib Presiden sahaja, pemimpin UMNO lain tak nampak sangat mengambil pendekatan ini,'' katanya.
Abdul Aziz kecewa apabila masih ada pemimpin lain tidak mengikut jejak langkah kepimpinan tertinggi UMNO mendekati akar umbi, masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat masing-masing.
Beliau turut mengulangi pendirian Perdana Menteri tentang pentingnya kaum wanita yang bukan sahaja mewakili sebahagian besar warga universiti dan guru di sekolah, malahan perlu diiktiraf peranan mereka dalam sektor lain.
"Lihat sahaja warga universiti dan guru di sekolah, rata-rata wanita lebih ramai daripada lelaki. Ini perlu dicerminkan dalam sektor korporat serta selaku calon dan kedudukan dalam parti juga.
"Jangan lupa pengundi juga ramai wanita. Kita perlu beri peluang wanita menjadi calon di kawasan tertentu dan mungkin lebih ramai berbanding dahulu," ujarnya.
Beliau berpendapat semua pemimpin perlu mengikut cara Perdana Menteri menggunakan media sosial kerana secara formalnya, jumlah mereka yang menonton televisyen dan bahan cetak sudah tidak begitu ramai.
Abdul Aziz menekankan, pendekatan itu penting untuk mendapat kesan menyeluruh agar calon boleh menang yang dipilih di kawasan tersebut 'pasti menang'.
"BN mahu bentuk kerajaan, tapi kalau sokongan lebih kuat, dapat bentuk kerajaan yang lebih bagus.
"Tengok keadaan di Jepun sekarang, asyik tukar Perdana Menteri kerana kerajaan lemah.
"Kita mahukan kestabilan politik, mantap, baru senang jalankan program ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pertahanan, baru harmoni dan orang luar mahu masuk melabur," jelasnya.
Melihatkan situasi di AS dan zon Eropah yang mengalami kemelesetan, beliau menegaskan kerana itu Malaysia tidak mahu berlaku kekecohan bangsa mahupun agama di sini yang boleh menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI).
Beliau turut berasa kesal apabila ada orang Islam mendoakan saudara Islamnya jahanam kerana perkara sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Siapa sangka polarisasi membawa kepada doa menjahanamkan saudara seagama sebegini, hanya demi kuasa sedangkan merelakan pula diri diperkudakan orang yang jelas menentang platform Islam.
"Kerana itu Perdana Menteri kita mengambil pendekatan kesederhanaan (wasatiyyah) walaupun ada yang menidakkan usaha kerajaan untuk kemajuan Islam," katanya.
Tambahnya, seluruh dunia mengiktiraf kejayaan Malaysia dari aspek pembinaan surau dan masjid di seluruh negara, pendidikan sekolah pondok hingga universiti Islam, institusi serta perbankan Islam yang menjadi ikutan negara-negara lain.
"Itupun dikatakan tidak islamik, minta dijahanamkan sama sedangkan mereka itu juga yang menikmati semua yang diusahakan,'' katanya.
Sehubungan itu, tambah Abdul Aziz, Mubarak berharap buku terbitannya, 100 Wira Negara dapat menjadi wadah untuk diinsafi rakyat berbilang bangsa dan meningkatkan semangat cinta kepada negara, seterusnya mengekang cubaan meruntuhkan institusi sedia ada.
Beliau turut menyokong rancangan transformasi pendidikan dan berharap modul sejarah dijadikan subjek wajib di semua peringkat, bukan untuk mengingati tarikh-tarikh tetapi memahami dan menghayati cerita pembentukan negara bangsa Malaysia yang masih berterusan sehingga kini.

Tiada ulasan: