KUALA LUMPUR 6 Nov. - Usaha pembangkang bersama pihak berkepentingan
lain untuk menjadikan Malaysia sebagai negara dengan aliran pluralisme
agama dan liberalisasi kini semakin jelas apabila pimpinan tertinggi
Parti Keadilan Rakyat (PKR) lantang menyokong isu kebebasan beragama.
Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), SD Johari Md. Yassin (gambar)
berkata, kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung
kebebasan beragama sepatutnya terpakai dalam kalangan orang Melayu bukan
hanya merupakan strategi politik pembangkang tetapi lebih kepada
gerakan pluralisme agama.
"Ini bukan gerakan biasa pembangkang, tetapi usaha bersungguh-sungguh
mereka. Tindakan itu mesti ditentang habis-habisan kerana amat
berbahaya.
"Kita bimbang gerakan ini semakin merapati rakyat Malaysia meskipun
secara perlahan kerana mampu memberi kesan di luar jangkaan kelak,"
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nurul Izzah pada Forum Negara Islam: Versi
Mana; Siapa Bertanggungjawab? di Subang Jaya, Selangor Sabtu lalu
mengenai kebebasan beragama di negara ini yang sepatutnya diguna pakai
secara sama rata termasuk orang Melayu.
Menurut SD Johari, kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya
terhadap pemimpin yang menyokong gerakan itu di samping berhati-hati
melayani setiap permintaan pembangkang.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim turut
melahirkan kebimbangan terhadap aliran pluralisme di negara ini dan
meminta rakyat membuat pertimbangan berasas terhadap setiap kenyataan
atau tindakan pembangkang.
Katanya, aliran itu dibawa pemimpin pembangkang yang membawa imej
ulama atau Islam walaupun mereka bukan seperti yang dipamerkan.
"Pembangkang sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa
menghalalkan apa yang haram demi mencapai matlamat mendapatkan undi dan
kuasa memerintah," katanya.
Ruslan turut mengambil contoh sikap dan tindakan Nurul Izzah yang
dilihat tidak malu membuat kenyataan seumpama itu meskipun perkara
tersebut telah dirancang.
"Saya nasihatkan Nurul Izzah kalau tidak tahu tentang hukum hakam
agama, buat cara tidak tahu. Dia perlu belajar ilmu Islam supaya tidak
sesat.
"Jadikan ulama yang diiktiraf sebagai rujukan. Beliau hanya boleh
bercakap mengikut bidangnya tetapi bukan bidang agama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan