8 November 2012

Nurul Izzah terjerat keceluparan

KUALA LUMPUR 6 Nov. - "Tidak bermaruah, terdesak serta meletakkan harga diri di tahap terendah setelah terjerat dengan keceluparan sendiri."
Demikian pandangan Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang mengarahkan peguamnya mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia serta beberapa akhbar dan blog yang didakwa memutar belit kenyataan beliau.
Menurutnya, tindakan itu jelas menunjukkan Nurul Izzah tidak matang kerana hanya mampu menuding jari kepada pihak lain atas keceluparan sendiri dengan harapan semua pihak berhenti bercakap tentangnya.
"Tetapi kita hendak pesan kepadanya, usahkan satu, seratus saman pun kita tidak gentar. Demi agama bangsa dan tanah air, usahkan wang ringgit, malah, mati pun kita sanggup demi perjuangan itu.
"Oleh itu, beliau tidak perlu bersikap seperti anak kecil hendak menggertak orang itu dan orang ini. Pada saya, tindakan ini tidak lebih daripada hanya untuk menutup kelemahannya kerana gagal memberi penjelasan terhadap isu yang timbul," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan portal propembangkang, Malaysiakini berhubung penegasan Nurul Izzah bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu di Subang Jaya, Selangor Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahid berkata Nurul Izzah sepatutnya menggunakan akhbar terbitan pembangkang seperti Harakah dan Keadilan Daily untuk menjelaskan kedudukan sebenar sekiranya beliau benar-benar tidak bersalah.
"Tetapi lain pula jadinya yang mana beliau menyalahkan media. Lebih pelik tidak pula beliau kaitkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) seperti selalu," ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan sikap Nurul Izzah yang tidak mengarahkan peguamnya mengambil tindakan sama terhadap portal propembangakng Malaysiakini.
"Bukankah ini tidak adil? Utusan Malaysia hanya memetik laporan Malaysiakini. Adakah kerana Malaysiakini sering menyebelahi pembangkang, maka mereka tidak bersalah di matanya?
"Anda perhatikan sendiri agenda Malaysiakini. Mereka hanya menerbitkan laporan itu dalam edisi bahasa Inggeris. Tiada laporan versi bahasa Melayu. Ertinya apa? Apa agenda mereka di sebalik semua itu?" katanya.

Tiada ulasan: