KUALA LUMPUR 7 Dis. - Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang perlu menjelaskan kepada umum kriteria yang bakal
digunakan beliau dalam melantik anggota jemaah menteri sekiranya
pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil
Ibrahim berkata, sebagai calon utama Perdana Menteri pakatan pembangkang
kriteria itu menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong pembangkang.
"Adakah Abdul Hadi akan melantik seorang menteri terdiri daripada
individu yang mempunyai jawatan dalam parti atas sebab lantikan oleh
isterinya?
"Adakah beliau akan membenarkan ketiga-tiga pemimpin daripada sebuah
keluarga iaitu bapa, ibu dan anak menjadi anggota jemaah menteri?"
katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Pas menamakan Abdul Hadi sebagai Perdana
Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan
datang meskipun cadangan itu mendapat tentangan DAP dan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) yang turut mempunyai calon masing-masing.
Dalam masa sama, Zamil mempersoalkan kuota yang diberikan Abdul Hadi bagi membolehkan sesebuah keluarga menyertai Kabinet.
"Beliau perlu menerangkan kepada rakyat mengenai jumlah atau had yang
akan dikenakan ke atas sesebuah keluarga untuk menganggotai Kabinet
pakatan pembangkang," katanya.
Beliau menambah, Abdul Hadi juga perlu menjelaskan kepada umum
berhubung kebimbangan Pengerusi DAP, Karpal Singh sekiranya beliau
dipilih sebagai Perdana Menteri pakatan pembangkang.
"Adakah perkara ini disebabkan Karpal tidak mempunyai sebarang rahsia
hitam mengenai Abdul Hadi, maka beliau merasakan tidak boleh menguasai
Abdul Hadi?,'' katanya.
Dalam masa sama, beliau turut bimbang sekiranya Abdul Hadi meletakkan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan.
"Abdul Hadi perlu mengimbas semula tentang kerakusan Anwar dan
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali sekitar 90-an
dahulu," katanya.
Beliau menambah, persoalan-persoalan itu perlu dijawab segera kerana
semua rakyat mahu tahu mengenai perancangan parti pembangkang.
"Hal ini demikian kerana sistem yang dilaksanakan Barisan Nasional
(BN) sudah diketahui termasuk siapa bakal menjadi Perdana Menteri,
berapa jawatan menteri untuk UMNO, MCA, MIC serta parti komponen lain.
"Rakyat bagaimanapun, sehingga hari ini belum mengetahui sistem yang
mahu dilaksanakan parti pembangkang. Berapa jawatan menteri yang
diperuntukkan untuk Pas, PKR dan DAP. Adakah pertubuhan haram Hindraf
turut mengambil bahagian," ujarnya.
Sehubungan itu, menurutnya, tidak salah sebagai rakyat untuk
bertanyakan tentang perkara ini kerana bimbang sesuatu yang tidak baik
akan berlaku kelak.
"Saya sebagai individu berkecuali merasakan BN mempunyai sistem itu
dan semangat setia kawan yang kuat sejak lebih 50 tahun dahulu lagi,"
ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan