10 Disember 2012

Penduduk India Selangor marah

SEBAHAGIAN daripada 300 penduduk keturunan India yang berarak dan berhimpun di hadapan pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan, di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi 
*****
SHAH ALAM 7 Dis. - Hampir 300 penduduk keturunan India marah dengan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang dikatakan membohongi mereka berhubung isu rumah ibadat penganut Hindu di negeri ini.
Mereka yang berarak dan berhimpun di hadapan pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) hari ini menyatakan rasa tidak puas hati selain mempersoalkan pentadbiran kerajaan negeri yang merobohkan beberapa kuil dan tempat ibadat penganut agama itu.
Tindakan itu dikatakan bertentangan dengan janji yang dibuat oleh PKR, DAP dan Pas bahawa tiada rumah ibadat akan dirobohkan.
Ketua Pemuda MIC, T. Mohan yang mengetuai perhimpunan tersebut mendakwa, tindakan kerajaan negeri itu merupakan satu penipuan kepada masyarakat India di Selangor yang sebelum ini mengharapkan janji pakatan pembangkang yang mahu menjaga kebajikan serta rumah-rumah ibadat mereka.
Katanya, setakat ini kerajaan negeri Selangor dikatakan merobohkan beberapa tempat ibadat penganut Hindu antaranya Kuil Sri Kaliamman di Ampang pada September 2008; Kuil Sri Muniswarar di Shah Alam (November 2011) termasuk Kuil Maha Mariaman dan rumah ibadat kecil di Sepang pada Februari dan November lalu.
"Kerajaan negeri tidak sensitif dengan masyarakat India, sebelum ini mereka janji tidak akan robohkan kuil sekarang mereka robohkan juga. Justeru, kita menuntut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu ini.
"Pada masa yang sama, Menteri Besar harus mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada masyarakat India di Selangor selain memberi jaminan tidak akan merobohkan mana-mana kuil di negeri ini. Kita juga menuntut kerajaan negeri membina semula kuil-kuil yang telah dirobohkan sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika menyertai perhimpunan itu.
Turut hadir dalam perhimpunan tersebut yang bermula pukul 11 pagi ialah Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, S.A. Vigneswaran; Presiden Persatuan Athma Sakthi India, M. Vasantha Kumar dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat India lain seperti Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinbam).
Pada masa sama, Mohan yang turut menyerahkan memorandum tuntutan tersebut kepada wakil kerajaan negeri, Abdul Razak Ismail turut menggesa Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar supaya bertanggungjawab dalam isu merobohkan kuil tersebut.
Katanya, selaku Exco yang bertanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat India, Xavier sepatutnya memahami serta mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut, bukannya bersikap lepas tangan.

Tiada ulasan: