11 Disember 2012

Waspada dana khas biayai ahli BN sabotaj parti

KUALA LUMPUR 7 Dis. - UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan berwaspada dengan taktik kotor pembangkang yang kini mewujudkan dana khas bagi membiayai ahli BN yang kecewa untuk melakukan sabotaj serta lompat parti.
Bekas Setiausaha Sulit Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, beliau sendiri telah menerima maklumat dalaman berhubung dana khas bagi membiayai ahli UMNO serta BN yang kecewa itu supaya menjadi 'duri dalam daging' dalam pilihan raya umum akan datang.
Jelasnya, operasi itu adalah sama seperti rancangan 16 September 2008 yang mana Anwar pernah mencuba 'membeli' beberapa ahli Parlimen BN untuk lompat parti dengan pelbagai tawaran namun gagal.
"Saya turut difahamkan pembayaran itu nanti akan dibuat melalui Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggunakan dana yang diterima daripada pihak asing.
"Sehubungan itu, Lembaga Disiplin UMNO dan BN harus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tidak ada ahli sanggup menjadi musuh dalam selimut dalam pilihan raya umum akan datang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim semalam berhubung sebuah dana khas yang diwujudkan pembangkang bagi membiayai ahli UMNO dan BN melakukan sabotaj dalam pilihan raya umum akan datang.
Mengulas lanjut, beliau mahu setiap agensi kerajaan memantau lebih rapi kemasukan dana asing khususnya kepada pembangkang supaya Pilihan Raya Umum Ke-13 berlangsung dengan adil tanpa campur tangan pihak luar.
Malah, beliau tidak menolak Suaram berkemungkinan memainkan peranan penting dalam pilihan raya umum akan datang untuk membantu pihak pembangkang dan kuasa asing.
"Tindakan Suaram menerima dana asing dan kemudian digunakan untuk membiayai perbuatan tidak bermoral seperti itu sewajarnya digelar sebagai pengkhianat negara.
"Saya juga mencabar Suaram menyaman saya dan Ruslan segera sekiranya maklumat itu tidak benar," tegasnya.

Tiada ulasan: