11 Disember 2012

Surendran diberi amaran jangan main sentimen kaum

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran dicabar mengemukakan senarai 300,000 penduduk India yang didakwa beliau tidak mempunyai kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan.
Timbalan Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan MIC, Datuk R. Ramanan berkata, jika gagal berbuat demikian Surendran perlu bersara dari dunia politik kerana membuat dakwaan palsu.
"Saya beri amaran kepada Surendran supaya tidak memainkan sentimen kaum demi kepentingan politik beliau.
"Surendran cuba berlagak hero sedangkan angka tersebut (300,000) tidak masuk akal," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Surendran seperti dipetik menerusi portal propembangkang berkata, pakatan pembangkang akan berkumpul di hadapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Rabu ini bagi menuntut agensi itu menyelesaikan isu status kewarganegaraan 300,000 penduduk India berkenaan.
Tambah Ramanan, pihaknya bersedia 'membantu' menyediakan 10 pegawai untuk bersama Surendran mengenal pasti 300,000 penduduk India yang didakwa tidak mempunyai status kewarganegaraan itu.
Mengulas rancangan Surendran berkumpul di JPN, Ramanan berkata, tindakan itu jelas membuktikan sikap sebenar pemimpin pembangkang yang suka mencetuskan keadaan huru-hara.
"Kalau betul ini adalah cara kepimpinan pembangkang, negara kita akan hancur. Lihatlah cara mereka menggunakan sentimen kaum untuk meraih undi dan mempolitikkan masalah rakyat," ujarnya.

Tiada ulasan: