
Najib Tun Razak memerhatikan Chang Lai
See, 49, memasukkan data pengenalan diri bagi permohonan Perumahan
Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) sempena program Jelajah Janji Ditepati di
Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, semalam. Turut hadir
Jamaluddin Jarjis, Teng Chang Yeow (kanan) dan Abdul Mutalib Alias (dua
dari kiri). - MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN
*****
PULAU PINANG 8 Dis. - Sebanyak 20,000 unit rumah kos rendah dan mampu
milik serta sistem pengangkutan monorel akan dibina di negeri ini
sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk mentadbir semula
kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak 10,000
unit rumah akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia
(PR1MA) dan 10,000 lagi oleh JKP Sdn. Bhd., Lembaga Kemajuan Wilayah
Pulau Pinang (Perda) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Katanya, projek pembinaan kediaman tersebut bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Rumah yang dibina oleh PR1MA Berhad berharga lebih rendah di
pasaran, misalnya kalau harga pasaran sebuah rumah RM500,000, kita akan
jual RM300,000 kepada rakyat," katanya ketika berucap dalam Program
Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari
ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor;
bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Pengerusi BN negeri,
Teng Chang Yeow; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal
Abidin Osman dan beberapa menteri Kabinet.
Hadir sama, Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan
juga Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.
Najib berkata, rumah PR1MA itu kini dibuka untuk pendaftaran dalam talian dan akan dicabut undi secara telus.
Menurutnya, janji kerajaan BN itu tidak sama seperti kerajaan DAP
Pulau Pinang kerana tiada rumah kos rendah atau mampu milik yang dibina
di negeri ini seperti disebut dalam Laporan Audit Negara 2010.
Beliau menambah, pemimpin pembangkang juga hanya pandai berjanji kepada rakyat tetapi tidak ditunaikan.
"Inilah janji saya di depan ribuan rakyat Pulau Pinang dan bukan
macam janji Ketua Pembangkang yang mahu mengatasi masalah rumah di
Kampung Buah Pala dalam tempoh dua minggu, tetapi mereka tidak tunaikan.
"Semua orang tahu penduduk Kampung Buah Pala tidak dapat rumah
seperti yang dijanjikan dan yang selesaikan masalah 26 keluarga India
ialah kerajaan BN," ujarnya.
Sementara itu katanya, sistem pengangkutan monorel itu bertujuan
mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius di negeri
ini.
Katanya, penduduk Pulau Pinang berhak disediakan dengan kemudahan
pengangkutan moden sedemikian demi menjamin kehidupan lebih selesa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan