11 Disember 2012

Zahrain ketuai 347 bekas ahli, pemimpin pembangkang sertai UMNO

Najib Tun Razak menerima borang permohonan keahlian menyertai UMNO daripada Zahrain Mohamed Hashim sambil diperhatikan oleh Zainal Abidin Osman (sebelah Najib) dan Aminah Abdullah serta bekas pemimpin pembangkang lain di pekarangan Bangunan UMNO Bayan Baru, Pulau Pinang, semalam. 
*****
PULAU PINANG 8 Dis. - Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini mengetuai 347 bekas ahli dan pemimpin pembangkang menyerahkan surat permohonan untuk menjadi ahli UMNO kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Zahrain yang juga bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang berkata, sudah sampai masanya untuk mereka kembali kepada UMNO memandangkan orang Melayu sudah tiada pilihan lain bagi meneruskan perjuangan dalam arena politik tanah air.
Beliau berkata, PKR dan Pas yang kononnya mewakili orang Melayu sebenarnya mempunyai agenda lain.
"Perkara ini jelas, orang Melayu akan terpinggir sekiranya terus berada di bawah PKR dan Pas. Ingin saya bertanya kepada semua umat Melayu, apakah yang mampu diberikan oleh kedua-dua parti itu kepada orang Melayu?
"UMNO adalah wadah untuk kita terus memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam di negara ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Makan Tengahari Perdana Menteri Bersama Masyarakat Bayan Baru di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Zahrain mengetuai 347 bekas pemimpin dan ahli pembangkang dari kawasan Jelutong, Bayan Baru dan Bukit Gelugor menghantar surat permohonan untuk menyertai UMNO.
Antara bekas pemimpin pembangkang lain ialah bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah; bekas Ketua Bahagian PKR Bukit Bendera, Mohd. Rofi Osman; bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan bahagian Bayan Baru, Nurilmi Ismail dan ahli Pas bahagian Balik Pulau, Jaffar Osman.
Zaharin dalam pada itu menambah, pihaknya yakin selepas ini lebih ramai ahli dan bekas ahli pembangkang yang akan memohon untuk menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Kami sememangnya merasa tertipu dengan kepimpinan pembangkang terutama pemimpin PKR.
"Saya percaya selepas ini bukan sahaja orang Melayu tetapi orang Cina dan India yang berada dalam pembangkang juga akan menyusul menyertai BN.
"UMNO dan BN hari ini sangat berbeza dengan UMNO dan BN yang saya tentang dulu malah mereka lebih jelas mempunyai matlamat serta pembawaan lebih kukuh dalam membela rakyat tanpa mengira bangsa," ujarnya.
Katanya, rakyat seharusnya sedar bahawa pembangkang adalah lebih teruk daripada segala tohmahan yang mereka lontarkan terhadap UMNO dan BN.
"Oleh itu, biar apa pun yang berlaku, kami semua akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri demi menyelamatkan negara daripada segala bentuk penipuan pembangkang.
"Tidak kira siapa pun yang akan diletakkan sebagai calon BN di negeri ini, kami akan bersatu dan bersama membantu untuk memastikan BN kembali memerintah Pulau Pinang," jelasnya.

Tiada ulasan: