
IBRAHIM Ali beramah mesra dengan
sebahagian daripada 520 murid yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah selepas menyampaikan sumbangan wang dan beg
sekolah di Pasir Mas, semalam.
*****
PASIR MAS 8 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)
meminta semua pihak menerima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025 yang bakal dibentangkan oleh kerajaan tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya percaya pelan
tersebut digubal oleh kerajaan selepas mendengar tuntutan daripada semua
pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, pelan tersebut tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur politik.
"Perkasa sekali lagi meminta semua pihak memberi sokongan kepada
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sudah hampir
selesai.
"Saya percaya kerajaan mendengar semua tuntutan NGO yang praktikal
dan tidak bertentangan dengan matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan
tetapi sekiranya ia bercanggah dengan dasar tersebut, sewajarnya ia
diketepikan dan golongan yang menuntut itu harus menerima apa yang
dibuat oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah
pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), di sini hari
ini.
Pada majlis tersebut, seramai 520 pelajar yang mendapat keputusan 5A
dalam peperiksaan itu menerima hadiah berupa wang tunai, baucar dan beg
sekolah.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, semua pihak juga
telah diberi peluang oleh kerajaan untuk menyampaikan pandangan dalam
sesi pendengaran awam yang diadakan sebelum ini.
"Pelan itu bukan agenda parti pemerintah tetapi digubal atas kehendak
rakyat kerana melalui pendengaran awam pelbagai maklumat dan cadangan
telah diterima dan ditapis.
"Tambahan pula mereka yang terlibat dalam menggubal jawatankuasa
terdiri daripada mereka yang cerdik pandai dan ini akan memberi kebaikan
kepada negara pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata, hadiah kecemerlangan peperiksaan
tersebut diadakan buat tahun ke-25 berturut-turut untuk pelajar
cemerlang di kawasan Parlimen berkenaan.
"Ini majlis tradisi saya pada setiap tahun malah ada di antara
pelajar yang dibantu telah mendapat pekerjaan, bagi saya pelajar
cemerlang harus diberi dorongan secara berterusan supaya mereka dapat
mengekalkan kecemerlangan itu.
"Saya mengucapkan tahniah kepada guru-guru dan ibu bapa kerana
kerjasama erat ini telah terbukti dapat meningkatkan tahap kecemerlangan
tersebut. Sebagai contoh, setiap tahun keputusan UPSR menunjukkan
peningkatan dan tahun ini seramai 520 orang mendapat 5A berbanding 400
pelajar pada tahun lalu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan