
DR. Rais Yatim (tengah) bersalaman
dengan beberapa hulubalang Istana Negara lama selepas menyaksikan
persembahan mereka di Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 8 Dis. - Istana Negara lama bakal menjadi simbol tradisi
pelancongan dan warisan yang memberi nilai tinggi dalam sistem Raja
Berperlembagaan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais
Yatim berkata, sehubungan itu, segala langkah dalam usaha untuk
mengekalkan warisan itu dipergiatkan dengan menyusun semula pentadbiran,
penyusunan artifak termasuk meletakkan pengawal yang berpakaian seperti
hulubalang sebuah istana lama pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Menurut beliau, ia akan beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari depan
manakala sistem pengawalan itu akan dimulakan pada 16 Disember ini.
"Kita akan mentradisikan cara pengawasan istana ini mengikut cara
kawalan istana lama dalam lipatan sejarah dengan meletakkan pengawal
berpakaian soldadu yang akan beroperasi setiap masa sekali gus memberi
suasana ketulenan kepada pelawat.
"Keseluruhan pengoperasian istana lama ini akan dikawal selia semula
di bawah Jabatan Muzium dan Jabatan Warisan Negara yang akan berperanan
sepenuhnya semua aspek pemuliharaannya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan persembahan hulubalang Istana Negara lama, di sini hari ini.
Menurut beliau, Pameran Raja Kita mengenai institusi raja-raja Melayu
yang kini telah mencecah 314,757 pelawat sejak 15 April lalu akan
diteruskan dengan menambah baik komponen penceritaan yang akan
dihuraikan secara visual dalam pelbagai bahasa untuk pelawat dalam dan
luar negara.
Ini termasuk membuka ruang-ruang tertentu seperti bilik-bilik yang
digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi acara-acara tertentu yang pada
ketika ini tidak dibenarkan kepada pelawat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan