KOTA BHARU 9 Dis. - Kerajaan Pas Kelantan
ditempelak kerana terus mempolitikkan isu pemberian wang ihsan meskipun
Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengkaji perkara
tersebut dan kerajaan negeri juga bersetuju menghantar wakil mereka.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed
berkata, kerajaan Pas Kelantan seharusnya menggunakan saluran yang ada
bagi membincangkan sebarang perkara berbangkit mengenai perkara tersebut
dan bukannya bertindak menjaja fitnah ke seluruh negara.
Beliau turut menolak tuduhan wang ihsan terbabit hanya disalurkan
kepada puak tertentu atau kroni dalam kalangan anggota UMNO di negeri
ini.
"Kerajaan Pusat sudah menubuhkan jawatankuasa dan kerajaan negeri
juga sudah mengemukakan nama wakil mereka ke jawatankuasa berkenaan,
maka apabila sudah ada wakil, ia menunjukkan kerajaan Pas Kelantan
mengiktiraf (penubuhan jawatankuasa khas itu).
"Maka, tidak payah gege (bising) ke hulu ke hilir membuat pelbagai
tuduhan serta fitnah, sepatutnya kita pakat molek (baik-baik), kena
tunjuk akhlak Islam," katanya.
Beliau berucap merasmikan Hari Terbuka Wisma Persekutuan, Karnival
Koperasi Peringkat Negeri 2012 dan Sambutan Maal Hijrah 1434 di
pekarangan Wisma Persekutuan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek
Hussin; Ketua Sektor Operasi dan Kawal Selia Suruhanjaya Koperasi
Malaysia (SKM), Md. Deris Jusoh; Pengerusi Majlis Perunding Koperasi
Negeri, Datuk Noor Zahidi Omar dan Setiausaha Politik kepada Perdana
Menteri, Datuk Mohamed Fatmi Che Salleh.
Kerajaan pada 4 Ogos lalu menyatakan persetujuannya menubuhkan sebuah
Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung
isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di
Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan
perkara itu berkata, Jawatankuasa Khas itu akan mengkaji serta mengenal
pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai hasil petroleum di
Pantai Timur Semenanjung.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam
reaksinya memberitahu, beliau akan menghadap Sultan Kelantan bagi
mendapat perkenan baginda mengenai wakil negeri itu yang akan
menganggotai Jawatankuasa Khas berkenaan.
Dalam sidang media kemudiannya, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri berkata, pihaknya tidak ada masalah dengan
gesaan pemimpin Pas Kelantan supaya pengagihan wang ihsan di negeri itu
diaudit Jabatan Audit Negara.
"Tak ada masalah, memang semua akaun kerajaan diaudit oleh Jabatan Audit Negara tanpa terkecuali wang ihsan.
"Yang penting wang ihsan itu digunakan untuk membantu pelajar masuk
universiti, cumanya kena pohon sebab kita tidak tahu siapa dapat masuk
universiti. Bagi pelajar, kita ada senarai daripada Jabatan Pelajaran
Negeri, itulah yang kita bagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan