KUALA LUMPUR 9 Dis. - Kerajaan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Selangor diminta meneliti dan mengambil perhatian terhadap
titah yang dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
bagi memastikan negeri itu sentiasa berada dalam keadaan aman dan
sejahtera.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim
Johan berkata, sudah sampai masanya Menteri Besar Selangor, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exconya meletakkan semula peranan
Sultan sebagai bahan rujukan tertinggi terutamanya melibatkan
kepentingan agama Islam serta orang Melayu.
"Sultan adalah penjaga kepentingan agama Islam dan bumiputera. Kalau
tiada apa-apa, masakan Sultan hendak menasihatkan tentang sesuatu
perkara secara terbuka.
"Apabila ada teguran yang dizahirkan, kemungkinan terdapat kelemahan dalam beberapa perkara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin dalam wawancara khas bersama Mingguan Malaysia
hari ini berjanji akan terus membuat teguran demi kepentingan Islam,
bangsa Melayu dan perpaduan antara kaum walaupun menerima tohmahan
bahawa baginda seolah-olah menyebelahi parti tertentu.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda cuma memberikan nasihat secara
ikhlas kepada rakyat Selangor dan tidak berasa tertekan atau menyerah
kalah dengan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan.
Tambah Nadzim, teguran Sultan Sharafuddin juga perlu dilihat dalam
konteks kekeluargaan seperti ibu bapa yang menasihati anak-anaknya.
"Bapa akan memberi nasihat apabila mendapati anak-anaknya melakukan kesalahan," katanya.
Mengulas perkara sama, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed
Maliki Mohamed Rapiee berkata, nasihat dan teguran secara terbuka oleh
Sultan Sharafuddin jarang berlaku pada pentadbiran kerajaan negeri
terdahulu.
"Ini jelas membuktikan kelemahan kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan dan kebajikan Islam serta orang Melayu sekarang ini.
"Saya bimbang apabila baginda terpaksa bertitah perkara yang sama berulang kali," ujarnya.
Mohamed Maliki menambah, sebagai sebuah kerajaan negeri yang
mempunyai Menteri Besar dalam kalangan orang Melayu seperti Abdul
Khalid, mereka sepatutnya faham maksud tersirat serta nasihat yang
sering dizahirkan baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan