KUALA LUMPUR 9 Dis. - Ancaman pluralisme dan
liberalisme yang menyerang masyarakat negara ini berpunca daripada
keterbukaan pembangkang yang giat meminta sokongan serta campur tangan
asing dalam mengubah struktur negara.
Naib Presiden Pertubuhan pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk
Zulkifli Noordin berkata, ini terbukti apabila pihak pembangkang membawa
masuk elemen kuasa asing dalam bentuk pemikiran tokoh tertentu serta
perjuangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar.
"Serangan terhadap akidah umat Islam di negara ini dilapik dengan
perjuangan hak asasi dan kemanusiaan kononnya, sedangkan yang nak
rosakkan Islam itu ialah nilai liberalisme dan pluralisme.
"Kalau tidak bendung sekarang, dalam tempoh terdekat ia akan
merosakkan orang Melayu dan tunjang agama Islam dan ancaman terhadap
Islam dari pembangkang ini memang nyata, kita dah tengok bukti kemasukan
NGO asing dan tokoh asing yang jelas," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang hadir sama, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.
Zulkifli diminta mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam wawancara baginda yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini yang mengingatkan umat Islam tidak terlalu terikut-ikut dengan pemikiran liberalisme dan pluralisme yang menyesatkan.
Dalam pada itu, Zulkifli turut mempersoalkan kewajaran Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengagungkan serta membawa
bekas Presiden Indonesia, B.J. Habibie untuk memberikan ceramah mengenai
pluralisme di sini beberapa hari lalu.
"Anwar nak minta 'nyawa politik' daripada Habibie sebab masyarakat
sudah tidak mahu dengar Anwar di sini, namun Habibie tidak ada autoriti
untuk bercakap mengenai pluralisme kerana fatwa di Indonesia sendiri
kata pluralisme adalah sesat.
"Anwar tidak patut memperkudakan Habibie kerana rakyat Malaysia sudah
cukup matang menilai sesuatu perkara dan saya ingatkan Anwar supaya
mendepani rakyat dengan keupayaan sendiri, jangan selindung di balik skirt-skirt orang luar," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penyertaan Ahli Parlimen Bayan Baru,
Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ke dalam UMNO semalam, Zulkifli
berkata, beliau tidak akan menyertai UMNO kerana peranannya dari luar
parti itu juga boleh membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencapai
kejayaan pada pilihan raya umum nanti.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas pula berkata, beliau tidak
akan memohon menyertai UMNO kerana pernah dipecat parti itu dahulu
walaupun 'hati dan jiwanya' masih bersama UMNO.
"Namun jika ada pelawaan daripada UMNO supaya saya menyertainya, saya
sedia mempertimbangkannya kerana tidak mahu dikatakan hidung tak
mancung, pipi tersorong-sorong," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan